Isnin, 17 Ogos 2020 | 2:48pm
Muhammad ditemui lemas selepas motosikal ditunggangnya terjatuh ke dalam tali air. Foto NSTP/Nurul Fatihah Sulaini
Muhammad ditemui lemas selepas motosikal ditunggangnya terjatuh ke dalam tali air. Foto NSTP/Nurul Fatihah Sulaini

Warga emas lemas motosikal terbabas dalam tali air

JERTIH: Seorang warga emas ditemui lemas selepas motosikal yang ditungganginya terbabas sebelum terjatuh ke dalam tali air di Kampung Gerai Muda, di sini awal pagi tadi.

Difahamkan mangsa, Muhammad Awang, 74, dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai menunaikan solat Isyak dan solat hajat di surau kampung itu kira-kira jam 9 malam.

Anak sulungnya, Amran Muhammad, 49, berkata, beberapa rakan bapanya sempat melihat arwah pulang menunggang motosikal melalui jalan yang sering dilaluinya untuk pulang ke rumah.

"Namun ketika ibu saya terjaga kira-kira jam 3 pagi dia mendapati ayah belum pulang dan segera menghubungi kami adik beradik serta penduduk kampung untuk mencari ayah.

"Hasil pencarian awal menemui motosikal arwah ayah terjunam dalam tali air kira-kira jam 5.30 pagi," katanya ketika ditemui di unit forensik Hospital Daerah Besut, di sini, hari ini.

Amran berkata, operasi pencarian diteruskan dengan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat sebelum arwah bapanya ditemui kira-kira dua kilometer dari tempat jatuh kerana dibawa arus air deras pada jam 10.15 pagi ini.

"Arwah tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan dan sering ke surau untuk belajar ilmu agama.

"Namun sejak beberapa hari ini arwah kelihatan lebih pendiam dari biasa sama ada ketika bersama keluarga atau rakan-rakan," katanya.

Katanya, kali terakhir dia bertemu arwah ketika sambutan Hari Raya Aidiladha lalu dan arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan lain.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jertih, Muhammad Tarmimi Che Musa berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 7.19 pagi dari orang awam memaklumkan kejadian itu.

"Seramai tujuh anggota diarahkan ke tempat kejadian untuk menyertai misi mencari mangsa yang lemas. Mayat mangsa ditemui orang awam pada jam 10.15 pagi sebelum diserahkan kepada polis. Operasi tamat pada jam 11.05 pagi," katanya.

Berita Harian X