X
Isnin, 17 Ogos 2020 | 10:33am
Anggota bomba memeriksa kenderaan dipandu lelaki yang terjunam ke sungai di Jalan Kampung Lama, Jitra. Foto ihsan Bomba
Anggota bomba memeriksa kenderaan dipandu lelaki yang terjunam ke sungai di Jalan Kampung Lama, Jitra. Foto ihsan Bomba

Guru Besar SK Tandop Besar maut kereta terbabas

JITRA: Seorang lelaki yang maut selepas kereta dipandunya terbabas dan menjunam ke dalam sungai di Jalan Kampung Lama, di sini hari ini dikenal pasti sebagai Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tandop Besar, Kuala Nerang.

Mangsa, Mohamad Noor Ismail, 57, yang menetap di Taman Seri Aman di sini, dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja sebelum kereta Toyota Vios yang dipandunya terbabas.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata siasatan awal mendapati mangsa memandu dari arah bandar Darulaman menghala ke Malau sebelum kereta dipandunya hilang kawalan dan melanggar penghadang jalan di Kampung Lama.

"Berikutan itu, kereta mangsa terjatuh ke dalam sungai menyebabkan mangsa lemas. Anggota bomba kemudian dapat menarik kereta terbabit ke tebing dan menemui mangsa yang terperangkap," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Ismail berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh anggota paramedik Hospital Jitra sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Anggota paramedik memeriksa mangsa yang terperangkap dalam kereta selepas kenderaan dipandu terjunam ke dalam sungai. Foto ihsan Bomba
Anggota paramedik memeriksa mangsa yang terperangkap dalam kereta selepas kenderaan dipandu terjunam ke dalam sungai. Foto ihsan Bomba

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 6.57 pagi.

Katanya, seramai enam anggota dan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Jitra diketuai Pegawai Bomba Kanan II Safiron Sudin, tiba di lokasi pada jam 7.05 pagi.

"Sebaik tiba, anggota bomba mendapati terdapat kereta Toyota Vios berada dalam sungai dan seorang mangsa terperangkap di dalamnya.

"Kita terpaksa mendapatkan bantuan lori kren bagi menarik keluar kereta sebelum mangsa dapat dikeluarkan," katanya dalam kenyataan di sini.

Berita Harian X