X
Sabtu, 15 Ogos 2020 | 8:09am

Elak lopak air, bukan kerana minyak

KUALA LUMPUR: Kemalangan sebuah kereta terbabas di selekoh susur masuk ke Subang Jaya dari Lebuhraya Persekutuan seperti rakaman video yang tular, semalam berpunca pemandunya mengelak lopak air dan bukan kerana laluan itu disimbah minyak.

Ketua Jabatan Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shariat, berkata siasatan mendapati kejadian itu berlaku pada 17 Julai lalu kira-kira jam 1 pagi.

"Pemandu kereta jenis Honda Insight itu adalah seorang wanita berusia lewat 30-an berasal dari Melaka.

"Kejadian berlaku disebabkan pemandunya gagal mengawal kenderaan ketika cuba mengelak lopak air selepas hujan menyebabkan terbabas dan melanggar tembok di selekoh berkenaan," katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Kata beliau, berdasarkan siasatan lanjut dan keterangan saksi yang membantu mangsa, didapati tidak ada unsur khianat oleh mana-mana pihak mencurah minyak di atas permukaan jalan dengan tujuan menyebabkan kemalangan seperti didakwa.

"Bagaimanapun, kita masih belum dapat mengenal pasti sumber rakaman video berkenaan dan siasatan masih dijalankan.

"Kemalangan itu disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalu lintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59) dan pemandunya sudah disaman," jelas Azman.

Tambahnya, netizen diminta lebih berhati-hati dalam menyebarkan sebarang video atau maklumat yang belum dipastikan kesahihannya kerana ia boleh menimbulkan kegusaran terutama dalam kalangan orang ramai yang menggunakan laluan berkenaan.

Semalam, tular di media sosial satu rakaman video menunjukkan sebuah kereta yang dipandu laju memasuki selekoh berkenaan sebelum terbabas dan melanggar tembok di sebelah kanan jalan.

Menerusi rakaman video berdurasi enam saat itu, kedengaran suara perakam menyebut 'Kena.. kena.. kena.. ok cantik'.

Netizen yang menyebarkan rakaman video berkenaan mendakwa kejadian itu kononnya didalangi 'longkai' atau pengendali trak tunda yang sengaja menyimbah minyak di atas jalan supaya berlaku kemalangan.

Berita Harian X