Sabtu, 8 Ogos 2020 | 5:19pm
Anggota PGA, Anderson Gumbang maut apabila kereta dipandunya terbabas dan terbakar di Jalan Miri-Bintulu, hari ini. - Foto ihsan JBPM
Anggota PGA, Anderson Gumbang maut apabila kereta dipandunya terbabas dan terbakar di Jalan Miri-Bintulu, hari ini. - Foto ihsan JBPM

Anggota PGA maut, kereta terbabas

MIRI: Seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) maut, manakala ibunya cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan terbakar di simpang Kampung Entulang, Jalan Miri-Bintulu, di sini, tengah hari tadi.

Mangsa, Anderson Gumbang, 43 yang bertugas di Batalion 12 PGA di sini disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di beberapa bahagian badan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, ibu mangsa, Randi Asai, 63, pula mengalami cedera ringan.

"Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 12.57 tengah hari dan lapan anggota dikejarkan ke lokasi.

"Setibanya di lokasi, didapati kereta jenis Proton Persona terbabas di tepi jalan dan terbakar sepenuhnya," katanya.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua mangsa dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan anggota bomba.

Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Berita Harian X