Jumaat, 7 Ogos 2020 | 10:02am
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Muhyiddin batal saman Dr Mahathir. - Foto hiasan NSTP/ASYRAF HAMZAH
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Muhyiddin batal saman Dr Mahathir. - Foto hiasan NSTP/ASYRAF HAMZAH

Mahkamah benar Muhyiddin batal saman Tun M

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan tiga lagi berjaya dalam permohonan mereka untuk membatalkan saman yang difailkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan yang lain berhubung pembatalan keahlian mereka dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Dengan membenarkan permohonan Muhyiddin dan tiga lagi defendan, Hakim Mahkamah Tinggi, Datin Rohani Ismail memutuskan bahawa Dr Mahathir dan lima lagi plaintif tidak mempunyai lokus standi untuk mengemuka tindakan undang-undang terhadap defendan.

Beliau juga memutuskan bahawa mahkamah berpandukan peruntukan undang-undang dan kes di bawah Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966, mahkamah mendapati Seksyen 18C terpakai dalam kes sekarang.

"Sehubungan itu, mahkamah tidak memiliki bidang kuasa untuk mendengar atau menentukan tuntutan plaintif," katanya.

Dr Mahathir sebelum ini menyaman Muhyiddin dan beberapa lagi memohon perisytiharan, antaranya mereka adalah ahli BERSATU yang sah, masih lagi memegang jawatan dalam parti (bagi pemegang jawatan) dan layak untuk bertanding pada pemilihan parti.

Mereka memohon perisytiharan bahawa semua surat pemberhentian yang ditandatangani Muhammad Suhaimi bertarikh 28 Mei lalu dan pengesahan melalui mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti bertarikh 4 Jun lalu tidak sah dan terbatal.

Yang turut tergugur keahlian adalah bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; bekas Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Dr Maszlee Malik dan Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah.

Berikutan itu, pencalonan Dr Mahathir bagi jawatan pengerusi, Mukhriz bagi jawatan timbalan presiden dan Syed Saddiq bagi jawatan Ketua ARMADA untuk pemilihan BERSATU, turut tergugur.

Seksyen 18C menyatakan bahawa sebarang keputusan parti politik adalah muktamad dan tidak boleh dicabar di mahkamah. Mahkamah memerintahkan plaintif membayar kos RM30,000 kepada semua defendan.

Rohani juga menolak permohonan plaintif untuk mendapatkan perintah injuksi untuk mempertahan status quo mereka sebagai ahli BERSATU sehingga pendengaran saman itu kerana mahkamah sudah membatalkan keseluruhan tindakan.

Pada 9 Jun, Dr Mahathir, anaknya Datuk Seri Mukhriz, Dr Maszlee Malik, Datuk Amiruddin Hamzah, Datuk Marzuki Yahya dan parti itu sendiri memfailkan saman berhubung pembatalan keahlian mereka dalam BERSATU, yang dinamakan sebagai plaintif pertama hingga keenam.

Mereka menamakan Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU dan Pemangku Pengerusi; Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Setiausaha Kerja Kapten (B), Muhammad Suhaimi Yahya dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS), Masyati Abang Ibrahim sebagai defendan pertama hingga keempat.

Menjelaskan mengenai faktor lokus standi, hakim itu berkata, pada 4 Jun 2020 Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, mengesahkan keputusan BERSATU bahawa plaintif pertama, Dr Mahathir sudah meletakkan jawatan sebagai Pengerusi pada 24 Februari dan berdasarkan Fasal 16.9 Perlembagaan BERSATU, Muhyiddin yang juga defendan pertama, memangku jawatan sebagai Pengerusi BERSATU.

Beliau mengatakan bahawa termaktub bagi setiap pertubuhan berdaftar diatur oleh perlembagaan dan berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pertubuhan 1966 dan ia juga telah termaktub bahawa perlembagaan pertubuhan yang berdaftar beroperasi sebagai kontrak antara ahli-ahlinya.

"Fasal 10.02 Perlembagaan Bersatu memperuntuk kehilangan keahlian secara automatik oleh peristiwa tertentu yang telah ditentukan, iaitu Fasal 10.2 menyatakan bahawa 'keahlian seseorang ahli terhenti secara serta-merta apabila berlaku mana-mana satu berikut' iaitu termasuk Fasal 10.2.6 menyatakan bahawa "seseorang ahli yang membawa apa-apa jua perkara parti atau hak keahliannya ke mahkamah," katanya.

Hakim Rohani juga berkata, sebelum persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei 2020, Dr Mahathir dan Mukhriz menulis surat kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan menyatakan bahawa kerusi mereka akan berada di pihak pembangkang bersama-sama dengan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang menentang Kerajaan sekarang, yang BERSATU ialah sebahagian daripadanya.

Beliau berkata, pada sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei, plaintif pertama hingga kelima menyeberang dan duduk di blok pembangkang bersama Ahli Parlimen PH.

Hakim berkata, mahkamah berpendapat tindakan yang dilakukan oleh kelima-lima plaintif berkenaan termasuk dalam Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan BERSATU.

"Justeru, mereka tidak lagi menjadi ahli BERSATU seperti yang disimpulkan dan disahkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi parti pada 4 Jun 2020.

"Sehubungan itu, mahkamah berpendapat tindakan memfailkan saman ini oleh plaintif dan peristiwa yang diambil pada 18 Mei oleh plaintif pertama hingga kelima, telah melanggar Fasal 10.2 Perlembagaan BERSATU.

"Justeru, plaintif tidak mempunyai locus standi (hak perundangan) untuk mengekalkan tindakan ini terhadap defendan," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X