Isnin, 3 Ogos 2020 | 12:42am

2 maut motosikal dirempuh kereta

SHAH ALAM: Dua wanita warga Indonesia maut apabila motosikal ditunggang mereka dirempuh kereta dipandu seorang remaja dalam kemalangan di Lorong Mughni, Jalan Kebun, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Ramsay Anak Embol, berkata dalam kejadian kira-kira jam 10.20 malam, kedua-dua mangsa berusia 45 tahun itu meninggal dunia di lokasi nahas akibat parah di kepala.

Beliau berkata, kejadian difahamkan berlaku ketika kedua-dua mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego membelok ke simpang sebelah kiri.

Pada masa sama, katanya, seorang remaja lelaki berusia 18 tahun yang memandu kereta jenis Proton Iswara dipercayai gagal mengelak lalu merempuh bahagian hadapan motosikal mangsa.

"Rempuhan kuat itu menyebabkan kedua-dua mangsa tercampak ke jalan raya," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Shah Alam untuk bedah siasat.

"Remaja berkenaan memiliki lesen memandu, manakala ujian saringan air kencing dan alkohol juga didapati negatif.

"Kita masih menyiasat punca sebenar kejadian itu. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Berita Harian X