Rabu, 29 Julai 2020 | 2:11pm
Laporan dalam BH Online.
Laporan dalam BH Online.

Waris mahu jaga bayi dicampak

KAMPUNG GAJAH: Waris bayi yang dicampak ke atas bumbung sebuah rumah teres di Taman Seri Dermawan, Bercham dekat Ipoh pada 18 Julai lalu, mahu menjaga bayi berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin, berkata bagaimanapun permohonan itu perlu melalui beberapa proses ditetapkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum bayi lelaki itu diserahkan kepada waris.

"Bayi terbabit masih berada di hospital dan dalam pemantauan, tetapi keadaannya sudah stabil. Saya difahamkan keluarga bayi itu ada memohon untuk menjaganya.

"Bagaimanapun JKM akan meneliti permohonan itu mengikut kesesuaian untuk diserahkan atau tidak dengan perlu melalui pelbagai proses seperti perintah mahkamah," katanya pada Program Aidiladha Bersama Rakyat di Kampung Pasir Putih di sini, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin (dua kanan) menyerahkan kotak makanan kepada wakil kampung di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kampung Gajah. - Foto NSTP/Noor Hidayah Tanzizi
Pengerusi Jawatankuasa Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat negeri, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin (dua kanan) menyerahkan kotak makanan kepada wakil kampung di Dewan Undangan Negeri (Dun) Kampung Gajah. - Foto NSTP/Noor Hidayah Tanzizi

Wan Norashikin berkata, ada beberapa aspek yang perlu diteliti seperti persekitaran dan hubungan walaupun untuk diserahkan kepada warisnya.

"Biasanya untuk kes seumpama ini, (bayi) akan ditempatkan di rumah kanak-kanak di bawah seliaan JKM hingga semua perkara selesai termasuk mengenai masa depan bayi," katanya.

Dalam kejadian itu, bayi masih bernyawa dan bertali pusat dipercayai baru dilahirkan, ditemukan berlumuran darah di bumbung rumah teres dua tingkat. Bayi itu dicampak ibunya, iaitu remaja berumur 16 tahun.

Berita Harian X