X
Khamis, 23 Julai 2020 | 3:52pm
Bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid menghadapi pertuduhan pecah amanah wang kerajaan berjumlah RM50.4 juta.
Bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid menghadapi pertuduhan pecah amanah wang kerajaan berjumlah RM50.4 juta.

20 saksi dijangka dipanggil dalam kes bekas KP MEIO

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dijangka memanggil 20 saksi pada perbicaraan kes bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid, yang menghadapi pertuduhan pecah amanah wang kerajaan berjumlah RM50.4 juta.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Iskandar Ahmad, selepas pengurusan kes di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Shahrir Mohd Salleh hari ini.

Muhamad Iskandar turut memaklumkan mahkamah bahawa mereka telah memberikan dokumen yang diperlukan berkaitan kes kepada pihak pembelaan.

Peguam Hamdan Hamzah yang mewakili Hasanah mengesahkan perkara itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 24 Ogos bagi pengurusan kes berikutnya dan mengekalkan 11 hari pada Oktober iaitu bermula 5, 6 dan 8; 12 hingga 15; dan 19 hingga 22 untuk perbicaraan.

Pada 25 Oktober 2018, Hasanah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan sebagai seorang penjawat awam iaitu Ketua Pengarah Penyelidikan Jabatan Perdana Menteri melakukan pecah amanah wang berjumlah AS$12.1 juta (RM50.4 juta) milik kerajaan Malaysia.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat Ketua Pengarah, Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kompleks JPM, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di Putrajaya antara 30 April hingga 9 Mei 2018.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan. - BERNAMA

Berita Harian X