Khamis, 23 Julai 2020 | 1:15pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Mayat mangsa lemas ditemui

KANGAR: Mayat seorang lelaki warga Thailand yang disyaki lemas lebih enam hari lalu ditemui terapung di sungai berdekatan Kampung Tanah Baru, Kuala Perlis, pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, berkata mangsa berusia lingkungan 20-an hingga 30-an itu ditemui nelayan yang baru pulang menangkap ikan di jeti pada jam 11.30 pagi.

"Berdasarkan keadaan mayat, mangsa dipercayai lemas di sungai terbabit dan meninggal dunia antara enam ke tujuh hari.

"Ini berdasarkan keterangan saksi terdekat yang mengenali mangsa berpandukan pakaian yang dipakainya," katanya ketika dihubungi hari ini.

Wari berkata, hasil pemeriksaan awal tidak menemui sebarang kecederaan akibat perbuatan jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Perlis berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 11.38 pagi tadi.

"Seramai lima anggota digerakkan ke lokasi bagi menguruskan mayat berkenaan sebelum diserahkan kepada polis.

"Operasi tamat sepenuhnya pada jam 12.08 tengahari tadi," katanya.

Berita Harian X