Rabu, 22 Julai 2020 | 9:12pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Lelaki berputih mata ditahan polis tiga jam selepas curi kereta

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berputih mata apabila ditahan polis di Taman Bukit Mutiara, Kajang, bersama kereta Proton Wira yang dicurinya beberapa jam selepas kereta itu dilaporkan hilang oleh pemiliknya, semalam.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata suspek berusia 37 tahun yang berasal dari Tawau, Sabah itu ditahan kira-kira jam 6 petang selepas intipan dilakukan pihak polis.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati Proton Wira itu dilaporkan hilang di daerah Ampang Jaya tiga jam sebelum tangkapan dilakukan.

"Selain itu, suspek juga mendedahkan bahawa dia pernah mencuri kenderaan sebelum ini dan menyembunyikannya di sebuah pangsapuri di Kinrara, Puchong.

"Hasil soal siasat suspek, polis turut menahan seorang lagi lelaki berusia 38 tahun dan merampas sebuah kereta jenis Proton Wira yang pernah dilaporkan hilang bersabit kes di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zaid berkata suspek pertama direman selama tiga hari bermula hari ini, manakala suspek kedua masih dalam proses memohon reman.

Beliau berkata kedua-dua suspek masing-masing mempunyai 18 dan enam rekod jenayah lampau berkaitan dadah, curi kenderaan dan judi.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 379 A Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek beserta barang rampasan telah diserahkan ke IPD Ampang Jaya dan IPD Serdang bagi tujuan siasatan lanjut," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X