X
Sabtu, 18 Julai 2020 | 1:16pm
Kemalangan maut yang membabitkan sebuah kereta dengan penunggang motosikal di Kampung Kandis, Jalan Jitra-Kodiang, pagi ini. Foto pembaca
Kemalangan maut yang membabitkan sebuah kereta dengan penunggang motosikal di Kampung Kandis, Jalan Jitra-Kodiang, pagi ini. Foto pembaca

Penunggang maut dirempuh kereta

JITRA: Seorang wanita maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh kereta di Kampung Kandis, Jalan Jitra-Kodiang di sini, hari ini.

Dalam kejadian pada jam 9.30 pagi itu, mangsa Marziana Saebon, 42, dari Kampung Kandis, meninggal dunia akibat cedera parah pada badan dan kepala.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Mohd Ismail Ibrahim, berkata siasatan awal mendapati kereta dipandu lelaki berusia 46 tahun sedang menghala ke Jitra.

Katanya, sebaik tiba di tempat kejadian, secara tiba-tiba motosikal yang ditunggang wanita terbabit dipercayai melintas untuk masuk ke jalan bertentangan.

"Pemandu kereta tidak sempat mengelak dan terus melanggar motosikal yang ditunggangi wanita itu.

"Disebabkan hentakan yang kuat, penunggang motosikal tercampak kiri jalan dan kereta itu terbabas ke dalam longkang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Ismail berkata, pemandu turut mengalami kecederaan pada badan dan penunggang motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X