Sabtu, 18 Julai 2020 | 11:26am

13 ditahan dalam Op Samseng Jalanan

PASIR GUDANG: Seramai 13 lelaki ditahan ketika leka melakukan aksi 'wheelie' dan berlumba menerusi Op Samseng Jalanan yang diadakan di Jalan Kota Masai, Taman Kota Masai, dekat sini, jam 6 petang, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Johor, Superintendan M Kumarasan, berkata bertindak atas maklumat dan risikan kegiatan berkenaan di sekitar daerah Seri Alam, 14 anggota termasuk pegawai JSPT Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dari Team Skuad 42 dan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Seri Alam ke kawasan berkenaan.

"Berdasarkan maklumat, lokasi berkenaan adalah lokasi bagi golongan remaja berlumba dan melakukan aksi bahaya seperti wheelie, zig zag dan yang berkaitan terutama pada waktu petang.

"Hasil risikan dan maklumat yang diperolehi, operasi itu berjaya menahan 13 individu berusia 14 hingga 23 tahun dipercayai kerana berlumba dan melakukan aksi bahaya di jalanan.

"Sebanyak 20 saman dengan 43 kesalahan dikeluarkan terhadap semua yang ditahan ketika operasi dijalankan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kumarasan berkata, semua yang ditahan akan disabitkan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mempamerkan nombor pendaftaran palsu.

"Sebanyak 11 motosikal turut disita bagi siasatan lanjut. Hasil saringan awal air kencing mendapati semua tangkapan negatif dan permohonan reman akan dibuat bagi siasatan lanjut," katanya.

Berita Harian X