Selasa, 14 Julai 2020 | 4:33pm
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim (tengah) bersama pegawai PDRM menunjukkan sebahagian pil Erimin 5 dan dadah jenis kokain yang dirampas pada sidang media di IPK Kuala Lumpur. -NSTP/Aizuddin Saad
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim (tengah) bersama pegawai PDRM menunjukkan sebahagian pil Erimin 5 dan dadah jenis kokain yang dirampas pada sidang media di IPK Kuala Lumpur. -NSTP/Aizuddin Saad

Sindiket tumpas, dadah RM600,000 dirampas

KUALA LUMPUR: Polis merampas dadah jenis kokain seberat 3.2 kilogram bernilai RM600,000 selepas menahan dua lelaki di Batu 5, Jalan Klang Lama, Jumaat lalu.

Menerusi serbuan bermula jam 2.15 petang, sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan JSJN Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul, menahan kedua-dua suspek berusia 44 dan 47 tahun.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim, berkata turut dirampas, sebuah kereta Mercedes Benz bernilai RM175,000 dan wang tunai berjumlah RM500 bagi membantu siasatan.

"Hasil siasatan lanjut mendapati kegiatan pengedaran itu memfokuskan pasaran antarabangsa iaitu di Taiwan. Rampasan dadah berkenaan boleh dibekalkan kepada 3,279 pengguna.

"Mereka aktif melakukan aktiviti berkenaan sejak dua bulan lalu dengan seorang daripada mereka mempunyai lapan rekod jenayah dadah.

"Ujian saringan air kencing pula mendapati kedua-kedua mereka positif dadah jenis syabu. Mereka direman selama enam hari berakhir Khamis ini mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya pada sidang media di IPK Kuala Lumpur, di sini, hari ini.

Mengulas kes berasingan, Mazlan berkata, pihaknya menahan tiga individu di sekitar Cheras, Khamis lalu kerana disyaki terbabit aktiviti pengedaran dadah jenis pil Erimin 5 sekitar Lembah Klang.

"Kita tahan seorang lelaki warga emas berusia 60 tahun selepas menemui 21,400 biji pil itu dengan berat 5.3 kg di dalam bakul motosikal suspek, di Taman Lagenda, Cheras, pada jam 6.30 petang.

"Penahanan itu membawa kepada tangkapan seorang lelaki dan wanita masing-masing berusia 56 dan 30 tahun di sebuah rumah di Taman Connaught Cheras, jam 7.35 malam.

"Dengan tangkapan itu, kita rampas lagi 400 pil bagi bantu siasatan. Kesemua mereka aktif menjalankan aktiviti berkenaan sejak dua bulan lalu dan dadah dirampas dengan nilai keseluruhan berjumlah RM328,140 yang boleh dibekalkan kepada 21,800 orang.

"Kita turut merampas wang tunai berjumlah RM1,140 selain kenderaan bernilai RM3,000," katanya.

Kesemua mereka direman selama enam hari sehingga esok mengikut Seksyen 39B ADB 1952.

Berita Harian X