Isnin, 13 Julai 2020 | 7:12pm
Rosmah Mansor hadir pada perbicaraan kes rasuah berhubung pembekalan dan pemasangan sistem tenaga solar di 369 sekolah di Sarawak di Mahkamah Tinggi. - NSTP/Saifullizan Tamadi
Rosmah Mansor hadir pada perbicaraan kes rasuah berhubung pembekalan dan pemasangan sistem tenaga solar di 369 sekolah di Sarawak di Mahkamah Tinggi. - NSTP/Saifullizan Tamadi

Tiada laporan polis terhadap Jepak Holdings

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan tidak membuat sebarang laporan polis terhadap Syarikat Jepak Holdings yang mengubah terma kontrak asal untuk projek pembekalan solar hibrid kepada 369 sekolah di Sarawak.

Sebaliknya, kesalahan itu diletakkan kepada isteri bekas perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang dijadikan sebagai "kambing hitam."

Perkara itu dicadangkan peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Rosmah, ketika menyoal balas bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

Alias yang juga saksi ke-12 pendakwaan, bagaimanapun, menafikan cadangan Rosmah dijadikan "kambing hitam", namun bersetuju pihak kementerian tidak membuat sebarang laporan polis terhadap Jepak Holdings.

Akberdin kemudian mencadangkan laporan polis tidak dibuat terhadap Jepak Holdings kerana beliau (Alias) dan bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, bersekongkol dengan Jepak.

Perkara itu sekali lagi dinafikan Alias, sebaliknya berkata, pihak kementerian mengemukakan tiga langkah yang harus diambil antaranya memulakan siasatan dalaman, meminda kontrak dan membuat laporan polis.

"Ini adalah dakwaan serius dan saya tidak bersetuju dengan cadangan itu," katanya.

Akberdin, kemudian cuba membuktikan hubungan antara Alias dan Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin, dengan mengemukakan gambar kedua-dua mereka bersama Mahdzir di sebuah majlis perkahwinan.

Akberdin: Pernahkah anda menghadiri majlis perkahwinan anak Saidi?

Alias: Tak pernah.

"Itu adalah gambar perkahwinan anak saya, yang dihadiri Mahdzir dan Saidi. Saya tak jemput Saidi tetapi beliau hadir dengan menteri (Mahdzir).

Akberin: Anda tidak jemput Saidi?

Alias: Tidak...anda boleh lihat senarai kad jemputan.

Sementara itu, ketika ditanya Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, sama ada pernah berlaku sepanjang pengalamannya, pelanggaran garis panduan dalam projek perolehan kerajaan, Alias, menjawab; "Tidak."

Ahmad Akram: Kejadian bermain golf dengan Saidi di Tropicana Golf & Country Club dan kehadirannya ke perkahwinan anak anda, adakah ia berlaku sebelum atau selepas kontrak ditandatangani?

Alias: Selepas

"Dasar kerajaan tidak membenarkan kita (pegawai kerajaan) mengadakan hubungan dengan kontraktor.

"Bagaimanapun, apabila kontrak sudah ditandatangani, kita anggap mereka sebagai rakan kongsi kerajaan," katanya.

Sementara itu, saksi ke-13 pendakwaan, pengurus Cawangan CIMB Bank Bintulu Sentral, Wong Ping, 40, memberitahu wang berjumlah lebih RM63 juta dimasukkan ke dalam akaun bank milik Jepak Holdings Sdn Bhd oleh Kementerian Pelajaran pada 2017.

Beliau berkata demikian ketika merujuk kepada penyata akaun CIMB Bank Berhad milik Jepak Holdings bertarikh 4 Ogos 2017, terdapat lima transaksi kemasukan wang berjumlah RM63,671,100 dimasukkan ke dalam akaun berkenaan.

"Kesemua kemasukan wang adalah dari akaun bank di bawah akaun milik Kementerian Pelajaran. Baki akaun selepas kesemua kemasukan ialah RM64,146,262.31," katanya.

Rosmah berdepan tuduhan menerima rasuah wang tunai berjumlah RM5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin, 60.

Wang itu sebagai upah membantu syarikat berkenaan mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid serta Penyelenggaraan dan Operasi Gense/Diesel bagi 369 sekolah luar bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion, secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, pada 20 Disember 2016.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 15 November 2018, Rosmah didakwa atas dua pertuduhan meminta RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

Berita Harian X