Jumaat, 10 Julai 2020 | 12:06pm
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Pesara rugi RM53,500 angkara pelaburan saham tidak wujud

KUANTAN: Seorang pesara kerajaan, berputih mata selepas kerugian RM53,500 angkara diperdaya pelaburan saham yang tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata mangsa sanggup menunggu hampir empat tahun bagi mengaut keuntungan hasil pelaburan saham berkenaan.

Mohd Wazir berkata, mangsa berusia 60 tahun berminat membuat pelaburan selepas dipengaruhi rakannya pada 2017.

Katanya, suspek memaklumkan kepada mangsa akan menerima keuntungan berterusan dan wang modal dikembalikan selepas setahun, jika sanggup melabur sebahagian wang simpanannya untuk pelaburan saham terbabit.

"Mangsa kemudian menyatakan minat selepas diberitahu bahawa duit pelaburan itu ditukarkan kepada bitcoin dalam nilai dolar AS dan akan masuk ke dalam akaun cyrptogold miliknya," kataya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Wazir berkata, tanpa berfikir panjang mangsa membuat pemindahan sebanyak dua kali pada 28 November 2017 sebanyak RM26,500.

Katanya, pada 24 Januari 2018 mangsa sekali lagi membuat pindahan wang sebanyak RM27,000 ke akaun yang sama.

"Namun sehingga laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Termeloh, mangsa masih tidak menerima apa-apa pulangan," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 402 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Berita Harian X