Khamis, 9 Julai 2020 | 7:05pm

Warga emas ditipu RM3.83juta, polis tahan 9 suspek

PETALING JAYA: Polis menahan lapan lelaki dan seorang wanita disyaki terbabit dengan kes Macau Scam, susulan aduan seorang wanita 90 tahun yang kerugian hampir RM3.83juta selepas digertak seorang lelaki mengaku polis.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata kesemua suspek yang berusia antara berumur antara 30 hingga 43 tahun itu ditahan sejak awal bulan ini, selepas polis menerima aduan mengenai kes berkenaan pada 28 Jun lalu.

"Sebanyak tujuh akaun syarikat di empat negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Kuala Lumpur dan Sabah juga telah dibekukan dengan jumlah RM1.4 juta," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata kes itu bermula apabila wanita berkenaan menerima panggilan telefon kononnya dari Pos Malaysia yang menerima bungkusan mengandungi kad pengenalan dan kad bank miliknya pada April lalu.

"Panggilan berkenaan kemudiannya dipindahkan kepada seorang individu yang menyamar pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak dan memberitahu kononnya wanita itu terbabit kes penggubahan wang haram dan akan ditahan," katanya.

Nik Ezanee berkata, wanita berkenaan yang bimbang ditahan, mengikut arahan suspek untuk membayar sejumlah wang tunai dengan membuat transaksi kepada tujuh akaun syarikat berbeza antara 20 April dan 15 Jun lalu.

Beliau berkata sindiket Macau Scam dilihat sering menyasarkan golongan warga emas atau mereka yang kurang pendedahan mengenai jenayah siber, dan menurutnya kes sedang disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sementara itu, polis menahan lima lelaki dan dua wanita, kesemuanya warga China berusia antara 16-39 tahun kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan perjudian dalam talian di dua buah unit kondominium di Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara, di sini, semalam.

Nik Ezanee berkata, siasatan awal mendapati sindiket itu menjalankan kegiatan mempromosi judi dalam talian yang berpusat di Malaysia melalui pautan laman sesawang ziji678.com dengan menyasarkan pelanggan dari China.

"Dalam serbuan pada jam 6 petang itu, polis turut menemui beberapa barangan disyaki digunakan dalam kegiatan judi dalam talian tanpa lesen itu, iaitu sejumlah 18 buah telefon bimbit, sembilan komputer riba, selain wang tunai bernilai RM650, yang turut dirampas," katanya dan menambah kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1)(G) Akta Rumah Judi Terbuka dan Seksyen 6 (1)(C) Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu Selasa lalu, 13 warganegara China dan seorang warga tempatan ditahan dalam serbuan di beberapa buah rumah di Tropicana Avenue di sini, kerana disyaki menjalankan kegiatan penipuan pelaburan dalam talian membabitkan mata wang kripto.

Menurut Nik Ezanee, kesemua suspek berusia antara 19-36 tahun direman selama empat hari bagi membantu siasatan.– BERNAMA

Berita Harian X