X
Khamis, 9 Julai 2020 | 1:21pm

Culik Datuk Seri, enam lelaki termasuk seorang ahli politik didakwa

PETALING JAYA: Lima lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang ahli perniagaan Datuk Seri R Arumugam, yang mayatnya ditemui di kawasan belukar di Batu 27, Jalan Rawang Bestari Jaya pada 27 Jun lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada semua lelaki terbabit selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir, bermula jam 11.26 pagi tadi.

Mengikut pertuduhan, lima lelaki iaitu Azhari Shahrom Shaihmi, 56; Mohd Durai Abdullah, 52; Sheikh Ismail Sheikh Hassan, 26; N Vickneswarar, 28, dan seorang warga Bangladesh, Kasi Nasrul, 42, didakwa menculik Arumugam, 55, yang juga pemaju hartanah, dengan niat untuk menahan mangsa bagi mendapatkan wang tebusan berjumlah 50 juta dolar Singapura (RM153 juta).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Kejiranan Central Spine, Jalan Margosa, Bandar Sri Damansara, di sini, jam 10.30 pagi, 10 Jun lalu.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya tidak dihukum mati, juga boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Seorang lagi tertuduh, yang juga bekas calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Kali pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu, Datuk K Ramachandran, turut dituduh atas kesalahan bersubahat menculik mangsa sama, dengan tujuan mendapatkan wang serupa.

Bagi kesalahan itu, Ramachandran didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 3 Akta Culik 1961 yang membawa hukuman sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hakim Amir Abd Hamid. Dalam prosiding itu hanya seorang tertuduh iaitu Ramachandran diwakili peguam, R Sivaraj.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Hakim Amir Abdul Hamid tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap semua tertuduh.

Mahkamah kemudian menetapkan 27 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Sebahagian daripada enam orang yang dibawa Polis untuk dituduh menculik seorang ahli perniagaan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya. - NSTP/Fathil Asri
Sebahagian daripada enam orang yang dibawa Polis untuk dituduh menculik seorang ahli perniagaan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya. - NSTP/Fathil Asri

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, dalam kenyataan hari ini berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) mengarahkan enam individu terbabit didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

"Enam individu itu antara 11 lelaki berusia antara 20 hingga 56 tahun yang ditahan sebelum ini bagi membantu siasatan kes sama," katanya.

Sebahagian daripada enam orang yang dibawa Polis untuk dituduh menculik seorang ahli perniagaan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya. - NSTP/Fathil Asri
Sebahagian daripada enam orang yang dibawa Polis untuk dituduh menculik seorang ahli perniagaan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya. - NSTP/Fathil Asri

Media sebelum ini melaporkan mayat mangsa yang sudah reput ditemui dalam kawasan belukar di Batu 27 Jalan Rawang Bestari, Rawang pada 27 Jun lalu selepas 18 hari diculik.

Mangsa yang juga seorang pemaju hartanah berusia 55 tahun, diculik tiga lelaki ketika berjoging di sebuah taman permainan di Jalan Persiaran Perdana, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, kira-kira jam 10.30 pagi, 10 Jun lalu.

Keluarga mangsa kemudian dihubungi suspek yang meminta wang tebusan berjumlah RM153 juta.

Polis mengesahkan penculikan berkenaan bermotifkan wang dan dipercayai ada kaitan dengan hutang perniagaan.

Antara individu yang dituduh menculik seorang ahli perniagaan dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya. - NSTP/Fathil Asri
Antara individu yang dituduh menculik seorang ahli perniagaan dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya. - NSTP/Fathil Asri
Berita Harian X