Khamis, 9 Julai 2020 | 12:04pm

Anak tampar, pukul ibu kerana tidak dibelikan motosikal

KANGAR: Polis menahan seorang lelaki yang juga penagih dadah semalam, selepas bertindak menampar dan memukul ibu kandungnya dalam kejadian di rumah mereka di Jalan Kaki Bukit, Sabtu lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, suspek berusia 28 tahun dipercayai mengamuk selepas permintaannya dibelikan motosikal baharu tidak dipenuhi ibunya yang berusia 56 tahun.

Suspek kemudian bertindak menampar ibunya yang bekerja sebagai pereka dalaman berkali-kali, selain mangsa turut diugut, dipukul dan diseret di lantai oleh anaknya sendiri.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, berkata mangsa kemudian bertindak membuat laporan sebelum suspek ditahan di kawasan sekitar daerah ini semalam.

"Siasatan awal mendapati suspek yang tidak bekerja datang berjumpa ibunya dan meminta sejumlah wang bagi membeli motosikal baru.

"Mangsa bagaimanapun memaklumkan tidak memiliki wang menyebabkan suspek menuduh mangsa berbohong dan bertindak menampar muka dan memukulnya pada bahagian kepala, kaki dan tangan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Difahamkan, suspek turut mengugut mangsa apabila mengeluarkan perkataan 'mampus hang' selepas memukul mangsa berulang kali.

Wari berkata, mangsa kemudian mendapat rawatan di hospital dan laporan perubatan mengesahkan wanita terbabit mengalami kecederaan akibat perbuatan anaknya.

"Mangsa tidak mengalami kecederaan serius, namun masih trauma dan ketakutan akibat kejadian dipukul suspek yang juga penagih dadah.

"Suspek direman empat hari bermula hari ini, mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan kerana memukul, menumbuk dan mengugut mangsa," katanya.

Penagih direman empat hari mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan kerana memukul, menumbuk dan mengugut ibunya di sebuah rumah di Jalan Kaki Bukit di Kangar, Sabtu lalu. - NSTP/Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Penagih direman empat hari mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan kerana memukul, menumbuk dan mengugut ibunya di sebuah rumah di Jalan Kaki Bukit di Kangar, Sabtu lalu. - NSTP/Dziyaul Afnan Abdul Rahman
Berita Harian X