Isnin, 6 Julai 2020 | 12:30pm
Kesemua PATI yang ditangkap akan diserahkan ke Balai Polis Bayu Damai untuk tindakan lanjut sebelum menjalani ujian saringan COVID-19. - Ihsan ATM
Kesemua PATI yang ditangkap akan diserahkan ke Balai Polis Bayu Damai untuk tindakan lanjut sebelum menjalani ujian saringan COVID-19. - Ihsan ATM

PATI Indonesia ditahan ketika cuba menyelusup keluar Malaysia

KUALA LUMPUR: Lima pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang cuba menyelusup keluar dari negara ini ditahan menerusi Op Benteng oleh pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kuari Sungai Musuh, Teluk Ramunia, Kota Tinggi, Johor awal pagi tadi.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Div) dalam satu kenyataan, hari ini memaklumkan tangkapan dijalankan sepasukan anggota Rejimen Ke-61 Artileri Diraja (61 RAD) diketuai Mejar Paiman Mat Don jam 4 pagi tadi.

"Kesemua PATI yang ditahan adalah lelaki yang berusia sekitar 20 hingga 40 tahun, dipercayai cuba keluar dari negara ini.

"Menerusi tangkapan itu, kita turut merampas sebuah Toyota Vios yang dipercayai digunakan untuk membawa PATI, lima telefon bimbit, wang tunai RM1,850 serta matawang Indonesia berjumlah 1.3 juta Rupiah (RM383)," katanya.

Keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM19,000.

"Kesemua PATI yang ditangkap akan diserahkan ke Balai Polis Bayu Damai untuk tindakan lanjut sebelum menjalani ujian saringan COVID-19.

"Pasukan turut meneruskan usaha membuat pencarian dan mengesan saki baki PATI di sekitar Kuari Sungai Musuh, Teluk Ramunia," kata kenyataan itu lagi.

Menurut kenyataan itu, untuk tempoh sepanjang tahun ini seramai 265 PATI yang cuba menyeludup masuk dan keluar Malaysia berjaya ditahan menerusi Op Merpati, manakala 104 lagi PATI ditahan menerusi Op Benteng COVID-19 oleh pasukan 61 RAD.

Berita Harian X