Ahad, 5 Julai 2020 | 9:46am
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

IPD Dang Wangi tingkat rondaan di lokasi tumpuan awam

KUALA LUMPUR: Lokasi yang terletak di titik tumpu pelancong di bandar raya ini menjadikan pasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pastinya berdepan dengan kes jenayah yang menyasarkan kumpulan pelancong.

Justeru, bagi memelihara dan menjamin keselamatan pelancong serta ketenteraman awam, kehadiran anggota polis dipertingkatkan khususnya di lokasi tumpuan orang ramai.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah, berkata Unit Polis Pelancong sentiasa digerakkan ke lokasi tumpuan seperti di Bukit Bintang, Menara Berkembar Petronas, Masjid India dan pusat beli-belah Pavilion serta kawasan rekreasi di sekitar ibu negara.

"Rondaan bit berjalan kaki oleh anggota Unit Polis Pelancong bagi mendekati pelancong tempatan dan luar negara di sekitar daerah ini sentiasa dilaksanakan supaya mereka berasa selamat.

"Kami juga dapatkan input dari lapangan seperti membabitkan busker (penghibur jalanan) setempat selain kerjasama dengan operator hotel untuk pelancong luar negara, malah bagi menimbulkan kesedaran kepada pelancong tempatan kami turut adakan pameran berbentuk peringatan supaya mereka ini tidak terdedah dengan jenayah terutama kes ragut," katanya ketika ditemui Bernama, baru-baru ini.

Jelasnya, keanggotaan Unit Polis Pelancong yang ditempatkan di bawah pengawasan IPD Dang Wangi adalah mencukupi dan pihaknya turut mengadakan rondaan berkala oleh Unit Cawangan Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) di lokasi tumpuan pelancong.

Beliau berkata secara keseluruhan, statistik terkini jenayah ragut menunjukkan penurunan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun rondaan berkala tetap diteruskan.

"Bagi tempoh Januari 2019 sehingga 22 Jun tahun ini, kadar jenayah ragut menurun lebih 90 peratus iaitu sejumlah 743 kes direkodkan dalam tempoh awal tahun ini hingga 22 Jun berbanding 1,441 kes dalam tempoh yang sama tahun lalu," katanya.

Mohd Fahmi berkata, daripada jumlah kes ragut yang direkodkan itu, ada antaranya adalah laporan palsu iaitu membabitkan kehilangan dokumen pengenalan diri apabila mangsa mendakwa mereka diragut tetapi setelah disiasat dokumen mereka sebenarnya tercicir.

"Mereka ini membuat laporan polis kerana mahu mengelak daripada dikenakan bayaran denda kerana kehilangan dokumen pengenalan diri," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Fahmi berkata polis mengenal pasti taktik baharu peragut di sekitar kawasan tumpuan pelancong di ibu negara iaitu dengan menyamar sebagai penghantar makanan.

"Beberapa tangkapan berjaya dibuat membabitkan peragut yang menggunakan modus operandi itu. Mereka (peragut) menggunakan uniform penghantar makanan dan menunggang motosikal. Mangsa tak perasan dan leka...mereka ragut," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X