Jumaat, 3 Julai 2020 | 6:30pm

'Datin' ditahan bantu kes penipuan bitcoin

GEORGETOWN: Seorang ahli perniagaan wanita bergelar Datin ditahan polis bagi membantu siasatan berhubung penipuan pelaburan bitcoin membabitkan kerugian RM388,090 di Bukit Jambul dekat sini, kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mohd Rosni Mohd Lazim berkata wanita berumur 39 tahun itu ditahan selepas pihak polis menerima laporan berhubung urusan pelaburan terbabit, dengan seorang lelaki menjadi mangsa.

"Lelaki itu menyertai pelaburan bitcoin selepas wanita berkenaan yang juga kenalannya menjanjikan pulangan keuntungan 30 peratus sebulan dan mangsa mula melabur sejak Jun 2016.

"Mangsa memindahkan wang berjumlah RM388,090 secara berperingkat ke akaun milik wanita itu, namun lelaki itu tidak mendapat keuntungan seperti dijanjikan lalu membuat laporan polis," katanya kepada BERNAMA di sini, hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana tipu dan Seksyen 137 Akta Perkhidmatan Kewangan 2003 kerana menerima deposit haram.

Mohd Rosni berkata, siasatan masih dijalankan bagi mengesan jika ada individu lain menjadi mangsa wanita itu dan turut meminta kerjasama mana-mana mangsa penipuan itu supaya tampil di balai polis. – BERNAMA

Berita Harian X