Khamis, 2 Julai 2020 | 11:54am
ANTARA suspek ditahan dipercayai positif dadah. - Foto/Ihsan AADK
ANTARA suspek ditahan dipercayai positif dadah. - Foto/Ihsan AADK

Ibu tunggal dua anak ditahan AADK

SUNGAI PETANI: Ibu tunggal dua anak antara 13 individu ditahan dalam Ops Cegah yang dilakukan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sekitar daerah ini, semalam.

Dalam operasi bermula jam 9 pagi hingga 6 petang, wanita berusia 41 tahun itu ditahan bersama seorang lelaki yang juga Orang Kena Pengawasan (OKP) di rumah kosong di Taman Ria Jaya.

Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda, Arnida Ishak, berkata rumah terbabit dipercayai menjadi sarang penagih dadah melepaskan gian.

"Ibu tunggal kepada anak berusia lima dan 14 tahun itu serta lelaki terbabit dibawa ke Pejabat AADK Daerah Kuala Muda untuk tindakan lanjut.

"Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-duanya positif dadah jenis morfin dan methamphetamine," katanya dalam kenyataan hari ini.

Arnida berkata, pihaknya turut menggempur dua lokasi panas di Kampung Pantai Cicar dan Puteri Jaya Hill Park.

Katanya, semua penagih ditahan berusia antara 20 hingga 62 tahun.

Saringan awal ujian air kencing mendapati lapan daripadanya positif dadah jenis methamphetamine dan lima lagi positif methamphetamine serta morfin.

"Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998," katanya.

Berita Harian X