Ahad, 28 Jun 2020 | 12:54pm
Suami isteri meninggal dunia selepas motosikal mereka terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 34.4 Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dari arah USJ ke Klang, Subang Jaya, semalam. - Foto ihsan polis
Suami isteri meninggal dunia selepas motosikal mereka terbabas dan melanggar pembahagi jalan di Kilometer 34.4 Lebuhraya Shah Alam (KESAS) dari arah USJ ke Klang, Subang Jaya, semalam. - Foto ihsan polis

Suami isteri maut, motosikal terbabas

KUALA LUMPUR: Suami isteri maut selepas motosikal dinaiki mereka dipercayai terbabas melanggar besi pembahagi jalan di Kilometer 34.4 Lebuhraya Shah Alam (KESAS) arah USJ ke Klang, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.48 malam itu, Mohamad Hassrul Nizzam Omar, 28, dan isterinya, Nur Haziqah Adam, 24, kedua-duanya berasal dari Ipoh, maut di tempat kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Selangor, Superintendan Azman Shari'at, berkata menerusi siasatan awal yang dijalankan, motosikal Yamaha Y15 dinaiki kedua-dua mangsa disyaki terbabas dan merempuh besi pembahagi jalan berhampiran sebuah stesen minyak.

"Kedua-dua mangsa parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mereka dihantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Azman berkata, ketika kejadian permukaan jalan di lokasi kemalangan berada dalam kering dan cuaca berkeadaan baik.

"Semakan ke atas rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu sedang dijalankan untuk memastikan sekiranya ada kenderaan lain yang turut menyebabkan kemalangan itu berlaku.

"Kita mohon saksi yang melihat kejadian itu untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Subang Jaya, Inspektor Mohamad Hamdan Jeramatin di talian 019-4642222," kata beliau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X