Khamis, 25 Jun 2020 | 4:50pm
Adenan menunjukkan kenderaan yang disita di Butterworth hari ini. - Foto NSTP/AUDREY DERMAWAN
Adenan menunjukkan kenderaan yang disita di Butterworth hari ini. - Foto NSTP/AUDREY DERMAWAN

JPJ sita 11 kenderaan e-hailing

BUTTERWORTH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita 11 kenderaan e-hailing dan menahan pemandu kerana mengendalikan pengangkutan awam dengan syarikat tidak berdaftar.

Pengarah JPJ Pulau Pinang, Adenan Md Isa, berkata pemandu berusia 20 hingga 50 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 16(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

Beliau berkata, anggotanya menyamar sebagai penumpang dan mengesan 11 pemandu yang beroperasi menggunakan aplikasi haram itu.

"Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda RM1,000 hingga RM10,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya," katanya di sini, hari ini.

Adenan berkata, orang-ramai diingatkan tidak tebabit dengan syarikat penyedia perkhidmatan yang tidak berdaftar dengan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).

Katanya, risikan JPJ mendapati kira-kira 200 pemandu e-hailing menggunakan aplikasi dari syarikat tidak berdaftar untuk mencari penumpang kerana lebih menguntungkan berbanding aplikasi lain.

Beliau berkata, syarikat penyedia perkhidmatan e-hailing yang beroperasi secara haram sejak beberapa bulan lalu di negeri ini tanpa mendapatkan Lesen Perniagaan Pengantaraan.

"Mereka yang tidak mempunyai Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan permit e-hailing turut boleh beroperasi dan mengambil penumpang.

"Syarikat tidak berdaftar ini dikesan beroperasi di lebih 30 negara sebagai pengendali e-hailing namun, dipercayai masuk ke negara ini terutama Pulau Pinang sejak awal tahun ini.

"Perbuatan ini jelas melanggar Akta Pengangkutan Awam Darat 2010," katanya.

Berita Harian X