Rabu, 24 Jun 2020 | 8:56pm
Tertuduh, Nelson Rostam (tiga dari kanan) dan Tamring Ismail (dua dari kiri) dibawa ke lokap mahkamah sebaik prosiding selesai. - Foto NSTP/ Abdul Rahemang Taiming.
Tertuduh, Nelson Rostam (tiga dari kanan) dan Tamring Ismail (dua dari kiri) dibawa ke lokap mahkamah sebaik prosiding selesai. - Foto NSTP/ Abdul Rahemang Taiming.

Lelaki memandu bawah pengaruh alkohol dipenjara 4 bulan, denda

TAWAU: Seorang pengurus ladang dipenjara empat bulan dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Tawau, hari ini selepas mengaku salah atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol pada 1 Mac lalu.

Tertuduh, Nelson Rostam, 27, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau, Amir Shah Amir Hassan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu di bawah pengaruh alkohol mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, yang memperuntukkan denda tidak kurang RM1,000 dan tidak melebihi RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan menerusi Ops Mabuk yang dijalankan sepasukan anggota Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) di Jalan Kuhara pada jam 12.20 tengah malam, 1 Mac lalu selepas hasil ujian pernafasannya dikesan positif.

Hasil ujian mendapati kandungan alkohol dalam badan tertuduh sebanyak 191 miligram etil alkohol dalam 100 mililiter darah melebihi sebanyak 111 miligram daripada had dibenarkan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum dua bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan.

Sementara itu, di mahkamah sama, seorang lelaki dihukum dipenjara enam bulan dan denda RM5,000 selepas mengaku bersalah memandu secara melulu.

Tertuduh, Tamring Ismail, 43, didakwa melakukan perbuatan itu dengan menunggang secara melulu dan merbahaya ketika memotong konvoi tiga kenderaan Pasukan Gerakan Am (PGA) di Jalan Merotai-Bombalai, jam 7.50 malam 18 Jun lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum empat bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintenden Joan Lee, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Berita Harian X