Ahad, 21 Jun 2020 | 11:42am
Mohammad Fadino (kiri) didakwa di Mahkamah Majistret Kluang, hari ini atas tuduhan penipuan pelaburan Bitcoin Bitkingdom, antara Ogos hingga September 2016. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Mohammad Fadino (kiri) didakwa di Mahkamah Majistret Kluang, hari ini atas tuduhan penipuan pelaburan Bitcoin Bitkingdom, antara Ogos hingga September 2016. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Datuk dituduh tipu pelaburan Bitcoin Bitkingdom

KLUANG: Seorang ahli perniagaan dalam talian berpangkat Datuk didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan penipuan pelaburan Bitcoin Bitkingdom, antara Ogos hingga September 2016.

Tertuduh, Datuk Mohammad Fadino Khairuman, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Arun Noval Dass.

Mengikut pertuduhan, Mohammad Fadino didakwa menipu seorang mangsa berusia 58 tahun dengan mendorongnya membuat pelaburan mata wang Bitcoin dan kemudian menukarkannya kepada mata wang Digital Aureus yang mempunyai nilai tukaran lebih rendah tanpa persetujuan pengadu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bank di Simpang Renggam, dekat sini, antara Ogos hingga Disember 2016.

Dia didakwa mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Rafidatul Akma Rafie manakala tertuduh diwakili Peguam, Fahmi Abd Moin.

Majistret kemudian memerintahkan tertuduh membayar jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 20 Julai depan bagi sebutan semula kes itu.

Khamis lalu, tertuduh turut dituduh di Mahkamah Majistret Kulai atas tuduhan penipuan pelaburan Bitcoin Bitkingdom, membabitkan kerugian RM29,002.12 pada 2017 dan turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Dia sebelum ini turut dituduh atas kesalahan sama di Mahkamah Majistret Klang, Petaling Jaya, Ampang dan Kuala Lumpur.

Berita Harian X