Sabtu, 20 Jun 2020 | 6:00pm
Dari kiri, mangsa tiga beranak, Abdul Hakim Hashim, 32, Adib Aidan Abdul Hakim, 2 tahun dan Nurul Huda Arifin, 31, yang maut dalam kemalangan kereta dengan sebuah di Kilometer (KM) 74, Jalan Ipoh-Gerik, (berdekatan Kampung Kuak, Sauk malam tadi. - Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam
Dari kiri, mangsa tiga beranak, Abdul Hakim Hashim, 32, Adib Aidan Abdul Hakim, 2 tahun dan Nurul Huda Arifin, 31, yang maut dalam kemalangan kereta dengan sebuah di Kilometer (KM) 74, Jalan Ipoh-Gerik, (berdekatan Kampung Kuak, Sauk malam tadi. - Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam

'Arwah terlalu teruja bergambar sekeluarga'

KUALA KANGSAR: "Raya tahun ini arwah kelihatan begitu beria-ia untuk bergambar sekeluarga bersama dalam sesi khas, namun tidak sangka ia petanda dia akan pergi buat selama-lamanya," kata Mohd Helmi Arifin, 45, abang kepada mangsa kemalangan maut, Nurul Huda Arifin, 31.

Nurul Huda meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan membabitkan kereta dinaikinya dengan sebuah pacuan empat roda di Kilometer 72, Jalan Ipoh-Gerik, berdekatan Kampung Kuak, Sauk, di sini, malam tadi.

Turut maut dalam kemalangan itu ialah suami Nurul Huda, Abdul Hakim Hashim, 32, dan anak bongsu mereka, Adib Aidan, 2, yang kedua-duanya meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Kuala Kangsar.

Mohd Helmi berkata, dia berasa ralat kerana arwah adik bongsunya itu mengandung lima bulan, selain disebabkan abang sulung mereka yang sebelum ini meninggal dunia, juga disebabkan kemalangan jalan raya sewaktu kecil.

"Mahu atau tidak, terpaksa reda walaupun ralat. Perut (arwah) pun sudah nampak (kandungan), biarpun janin kandungannya kami masih belum tahu setakat ini," katanya ketika ditemui di hospital di sini, hari ini.

Keadaan Toyota Vios selepas bertembung dengan sebuah pikap Toyota Hilux di Kilometer 74, Jalan Ipoh-Gerik, berdekatan Kampung Kuak, Sauk, Kuala Kangsar, malam tadi. - Foto ihsan pembaca
Keadaan Toyota Vios selepas bertembung dengan sebuah pikap Toyota Hilux di Kilometer 74, Jalan Ipoh-Gerik, berdekatan Kampung Kuak, Sauk, Kuala Kangsar, malam tadi. - Foto ihsan pembaca

Sementara itu, adik kepada Abdul Hakim, Nazirah Hashim, 28, ketika ditemui berkata, arwah abangnya yang juga anak sulung daripada 10 beradik disifatkan sangat bertanggungjawab, selain dianggap idola keluarga.

Dia turut terkilan kerana sedia mengetahui arwah kakak iparnya (Nurul Huda) mengandung anak perempuan, memandangkan kedua-dua arwah abang serta kakak iparnya begitu menginginkan anak perempuan, susulan kedua-dua anak mereka adalah lelaki.

Katanya, sejak kebelakangan ini arwah abangnya selalu mengatakan bahawa dia akan kerap 'pulang' ke kampung mereka di Gerik, khususnya selepas hampir tiga bulan dia dan keluarganya terkandas di kampung mentuanya di Trolak, Perak.

"Kali terakhir saya bertemu arwah abang kira-kira lima hari selepas hari lebaran. Sehari sebelum raya, arwah memang ada pulang balik hari ke Gerik dari Trolak selepas perjalanan rentas daerah dibenarkan.

"Arwah sekeluarga kembali semula ke Gerik pada raya ketiga sebelum pulang semula ke Manjung dua hari selepasnya. Emak mengakui perasan dengan perubahan abang khususnya apabila arwah sering bertanya jikalau ingin mengirim barang dari Manjung untuk dibawa pulang ke Gerik bersamanya.

Ahli keluarga mengangkat jenazah satu daripada tiga beranak yang maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 74, Jalan Ipoh-Gerik, berdekatan Kampung Kuak, Sauk malam tadi. - Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam
Ahli keluarga mengangkat jenazah satu daripada tiga beranak yang maut dalam kemalangan di Kilometer (KM) 74, Jalan Ipoh-Gerik, berdekatan Kampung Kuak, Sauk malam tadi. - Foto NSTP/Sharul Hafiz Zam

"Dia memang idola kami 10 beradik kerana sikapnya yang tegas, selain menjadi tulang-belakang keluarga khususnya dalam membantu menampung perbelanjaan empat adik-beradik kami yang masih belajar," katanya.

Jenazah tiga beranak itu disolatkan di hospital sebelum dihantar ke kampung Allahyarham Abdul Hakim di Kampung Air Panas, Gerik untuk dikebumikan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, ujian saringan narkotik terhadap pemandu pikap yang dipercayai menjadi punca kemalangan mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.

Katanya, suspek berusia 33 tahun yang bekerja sebagai pembalak, direman selama empat hari bermula hari ini, selain semakan mendapati suspek turut mempunyai 27 saman lampau dan empat saman yang belum dijelaskan atas pelbagai kesalahan trafik, terutama memandu laju.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita berkaitan:

  • Suami isteri, anak 2 tahun maut kemalangan


  • Berita Harian X