Sabtu, 20 Jun 2020 | 8:42am
Keadaan Toyota Vios selepas bertembung sebuah Toyota Hilux di Kilometer 74, Jalan Ipoh-Gerik, berdekatan Kampung Kuak, Sauk, malam tadi yang menyebabkan tiga beranak dalam kereta terbabit maut. - Foto ihsan pembaca
Keadaan Toyota Vios selepas bertembung sebuah Toyota Hilux di Kilometer 74, Jalan Ipoh-Gerik, berdekatan Kampung Kuak, Sauk, malam tadi yang menyebabkan tiga beranak dalam kereta terbabit maut. - Foto ihsan pembaca

Suami isteri, anak 2 tahun maut kemalangan

KUALA KANGSAR: Suami isteri dan seorang anak mereka berusia dua tahun maut apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah pikap di Kilometer 74, Jalan Ipoh - Gerik, berdekatan Kampung Kuak, Sauk, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian 10.30 malam, mangsa Nurul Huda Arifin, 31, yang berada di tempat duduk penumpang hadapan kereta Toyota Vios meninggal dunia di tempat kejadian.

Suaminya yang juga pemandu kereta, Abdul Hakim Hashim, 32, serta seorang anak mereka di tempat duduk belakang, Adib Aidan Abdul Hakim, 2, meninggal dunia sewaktu dirawat di Hospital Kuala Kangsar.

Seorang lagi anak mereka yang berusia empat tahun cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim, berkata siasatan awal mendapati kejadian berpunca apabila Toyota Vios dinaiki empat beranak itu yang dalam perjalanan dari Kuala Kangsar menghala Gerik bertembung sebuah Toyota Hilux dari arah bertentangan.

"Ketika sedang mara, Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki berusia 33 tahun dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan menyebabkan pertembungan berlaku.

"Rempuhan menyebabkan Toyota Vios berpusing sebelum memasuki longkang di bahu kiri jalan dan mengakibatkan semua empat penumpang kenderaan itu tersepit.

"Nurul Huda meninggal dunia di tempat kejadian, sementara mangsa lain termasuk pemandu Toyota Hilux dikejarkan ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Razali berkata, bagaimanapun Abdul Hakim disahkan meninggal dunia di hospital jam 12.15 tengah malam semasa dirawat, manakala Adib Aidan meninggal dunia lima minit kemudian.

"Seorang lagi kanak-kanak yang berada dalam Toyota Vios berkenaan berusia empat tahun hanya cedera ringan, manakala pemandu Toyota Hilux luka di lutut kanan.

Beliau berkata, pemandu Toyota Hilux ditahan bagi melalui ujian air kencing serta pengambilan sampel darah untuk ujian toksikologi.

Katanya, mayat tiga beranak itu akan menjalani bedah siasat di Hospital Kuala Kangsar jam 10.00 pagi ini.

Berita Harian X