Khamis, 18 Jun 2020 | 3:01pm
- Foto ESSCOM
- Foto ESSCOM

Penjenayah dikehendaki ESSCOM ditembak mati

LAHAD DATU: Seorang daripada 21 penjenayah dikehendaki di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Mamay Aburi atau dikenali juga sebagai Ustaz Mamay Aburi ditembak mati pasukan keselamatan Filipina di Zamboanga, minggu lalu.

Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali, berkata kejayaan itu hasil risikan ESSCOM dan dikongsi bersama Philippines-Western Mindanao Command (Westmincom).

Katanya, Ustaz Mamay Ketua Jemaah Group Zamboanga De Norte itu, antara yang turut terbabit dalam kejadian berbalas tembakan dengan anggota Kastam di perairan Mataking, Semporna, pada Disember tahun lalu dengan 50 das tembakan dilepaskan ke arah bot Kastam.

"Kita memang dapat sokongan yang baik daripada Filipina dalam usaha untuk membanteras jenayah rentas sempadan seperti penculikan untuk wang tebusan (KFR) yang aktif dilakukan Abu Sayyaf ke atas komuniti maritim di pantai timur Sabah.

"Kita bekerjasama baik dengan The Armed Forced Philippines-Western Mindanao Command (AFP-Westmincom) yang berpangkalan di Zamboanga dan Joint Task Force (JTF) di Tawi-Tawi, Filipina, setiap pergerakan ESSCOM tahu, kami kongsi dan sebaliknya," katanya ketika ditemui di Pejabat ESSCOM di sini.

Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali.
Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali.

Sementara itu, Hazani berkata pada 6 Jun lalu pihaknya turut menahan tiga warga Filipina di Laut Kinabatangan, disyaki pengintip untuk kumpulan KFR.

"Mereka dikesan sewaktu pasukan keselamatan membuat rondaan keselamatan di kawasan itu, bagaimanapun, kesemua suspek yang ditahan diserahkan kepada pasukan keselamatan Filipina yang pada waktu itu melakukan rondaan di sempadan Filipina-Malaysia," katanya.

Menurutnya, sepanjang Januari hingga kini, sebanyak tiga cubaan penculikan berjaya digagalkan pasukan keselamatan yang diselaraskan ESSCOM.

Hazani berkata, ESSCOM sedaya upaya meningkatkan pemantauan serta kawalan keselamatan bagi membanteras jenayah rentas sempadan seperti KFR kerana penculikan menjadi sumber pendapatan kumpulan terbabit. – BERNAMA

Berita Harian X