Selasa, 16 Jun 2020 | 4:44pm
Sepasukan pegawai penguat kuasa KPDNHEP cawangan Petaling Jaya merampas pelbagai barangan berjenama Adidas disyaki tiruan dalam pemeriksaan ke atas sebuah premis jualan di sebuah pusat membeli belah di Ara Damansara, Petaling Jaya, semalam.- Foto ihsan KPDNHEP Selangor
Sepasukan pegawai penguat kuasa KPDNHEP cawangan Petaling Jaya merampas pelbagai barangan berjenama Adidas disyaki tiruan dalam pemeriksaan ke atas sebuah premis jualan di sebuah pusat membeli belah di Ara Damansara, Petaling Jaya, semalam.- Foto ihsan KPDNHEP Selangor

'Barang tiruan rupanya'

KUALA LUMPUR: Menawarkan jualan promosi dengan diskaun harga lebih 50 peratus.

Itu taktik digunakan peniaga pakaian dan kasut jenama antarabangsa disyaki tiruan yang beroperasi di sebuah premis jualan di sebuah pusat beli belah terletak di Ara Damansara, Petaling Jaya, di sini.

Bagaimanapun, taktik itu terbongkar selepas premis itu diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menerusi Op Jeriji-Barang Tiruan, kira-kira jam 11 pagi semalam.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah, berkata serbuan dilakukan lima pegawai penguat kuasa KPDNHEP cawangan Petaling Jaya selepas menerima aduan daripada orang awam.

Katanya, sebanyak 335 baju, seluar dan kasut berjenama Adidas yang disyaki tiruan disita untuk siasatan lanjut dengan nilai rampasan dianggarkan RM23,680.

"Hasil siasatan awal mendapati premis berkenaan mula beroperasi bulan lalu. Barangan yang dijual dipercayai diperoleh dari negara jiran dan dijual dengan harga antara RM40 hingga RM400 bergantung kepada jenis produk.

"Modus operandinya adalah memaklumkan kepada pelanggan bahawa barangan yang dijual adalah tulen namun mengalami sedikit kecacatan ketika dihasilkan oleh kilang pengeluar," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menerusi operasi itu juga, beliau berkata, pihak KPDNHEP merekod keterangan seorang lelaki yang mengaku sebagai pekerja syarikat yang menjalankan perniagaan di premis terbabit.

"Kes ini disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019 dan syarikat boleh didenda maksimum tidak melebihi RM15,000 bagi setiap satu barangan yang cap dagangannya dipakaikan dengan salah atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

"Kita ingin menasihatkan kepada peniaga supaya sentiasa mematuhi segala perundangan yang ditetapkan, termasuk tidak menjual barangan cap dagangan dipakaikan dengan salah (tiruan) bagi mengelakkan tindakan oleh pihak KPDNHEP," katanya.

Berita Harian X