Rabu, 10 Jun 2020 | 6:48pm
Penganalisis jenayah, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim.
Penganalisis jenayah, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim.

Sengaja bocorkan bot, taktik kotor sindiket

KUALA LUMPUR: Tindakan membocorkan bot yang membawa lebih 216 dan satu mayat wanita pelarian Rohingya yang berjaya dipintas di perairan Pulau Langkawi, kelmarin adalah taktik kotor digunakan sindiket yang mendalangi kegiatan itu.

Penganalisis jenayah, Datuk Shahul Hamid Abdul Rahim, berkata tindakan itu menyebabkan pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) tidak dapat menjalankan pengusiran secara serta merta atas dasar kemanusiaan.

"Ini adalah satu taktik kotor yang digunakan sindiket yang cuba membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) kerana dengan cara itu, tindakan pengusiran tidak dapat dibuat sebaik sahaja pihak berkuasa berjaya mengesan dan memintas bot berkenaan.

"Pihak Maritim Malaysia akhirnya terpaksa menyelamatkan kesemua PATI yang berada di dalam bot berkenaan termasuk sebahagian daripadanya yang sudah terjun daripada bot ke laut dan berenang ke pantai," katanya kepada BH.

Katanya, kejadian itu pernah berlaku sebelum ini dan tindakan terbaik adalah membaiki kerosakan bot berkenaan dan kesemua PATI yang ditahan itu diarahkan meninggalkan perairan negara dengan bot yang sudah dibaiki itu.

"Bot itu mesti ditunda dan diiringi sehingga ke sempadan perairan negara untuk diusir dan mereka perlu meninggalkan negara ini dengan kembali ke negara asal.

"Itu antara cara terbaik untuk menangani situasi sedemikian namun perlu dipastikan ada tekong dalam kalangan mereka yang mampu mengendalikan bot berkenaan," katanya.

Walau bagaimanapun, katanya sekiranya tindakan sebegitu tidak dapat dibuat, kerajaan akhirnya terpaksa menempatkan kesemua PATI di satu kem khas buat sementara sebelum dihantar pulang dan itu akan membebankan negara.

"Pihak berkuasa perlu memperhebatkan usaha untuk menghapuskan kegiatan penyeludupan PATI terutama Rohingya yang biasanya menggunakan laluan tikus termasuk di perairan di bahagian utara negara.

"Sindiket-sindiket yang mendalangi kegiatan itu perlu ditumpaskan kerana ia menjadi akar umbi kepada penyeludupan PATI Rohingya ke negara ini dan tugas itu perlu dijalankan secara telus serta sistematik," kata beliau.

Kelmarin, National Task Force (NTF), Markas Angkatan Tentera Malaysia dalam satu kenyataan, memaklumkan pasukan keselamatan menerima maklumat awal berhubung cubaan menceroboh perairan Pulau Langkawi oleh pelarian Rohingya kira-kira jam 10.30 malam kelmarin, sebelum dikesan enam jam kemudian.

Pada jam 5 pagi kelmarin, Kapal Maritim (KM) Kimanis milik Maritim Malaysia yang memintas dan memeriksa bot membawa lebih 216 serta satu mayat wanita PATI Rohingya itu mendapati bot itu mengalami kerosakan teruk serta tidak dapat dibaiki.

Pada masa sama, 53 lagi PATI terjun ke laut dan berenang menuju ke pantai namun berjaya ditahan oleh penguat kuasa APMM.

Akibat kerosakan bot itu, tindakan pengusiran tidak dapat dilakukan dan KM Kimanis memberi bantuan berupa makanan dan air bersih secukupnya kepada PATI berkenaan.

Atas dasar kemanusiaan, Majlis Keselamatan Negara membenarkan bot itu ditunda ke Jeti Teluk Ewa, Langkawi, dan kesemua 269 PATI ditahan serta diletakkan sementara di Kem Bina Negara, Wawasan Langkawi.

Berita Harian X