Rabu, 10 Jun 2020 | 5:56pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Tekong, pelarian Rohingya 'mati kutu' polis cekup ahli sindiket penyeludupan

KUALA LUMPUR: Tekong yang membawa seramai 269 pelarian Rohingya melalui perairan negara, Isnin lalu, sebenarnya menemui jalan buntu selepas sindiket yang sepatutnya menguruskan kemasukan mereka secara haram sudah diberkas dari awal.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata akibat daripada tindakan polis memberkas rangkaian mereka di darat serta yang ada di beberapa lokasi lain di sekitar Kedah maka tekong dan pelarian di dalam bot berkenaan tidak mempunyai hala tuju dan terkandas di atas laut.

"Jadi inilah kesannya apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil langkah drastik memberi tumpuan kepada tangkapan jaringan mereka seperti ketua sindiket, tekong laut dan tekong darat, ejen, pengendali rumah penampungan dan pengangkut mereka terlebih dahulu.

"Kesan daripada tindakan inilah maka kita percaya banyak lagi pendatang tanpa izin (PATI) cuba menyeludup ke negara ini masih terkandas di negara asal mereka dan ada juga di lautan," katanya pada sidang media khas di Bukit Aman, petang tadi.

Beliau mengulas Op COVID-19 Benteng, di Kedah ini, seramai 70 ahli sindiket penyeludupan PATI termasuk 14 perempuan yang bertindak sebagai pengatur kemasukan etnik Rohingya ke Malaysia ditahan.

Katanya, operasi itu turut membabitkan kerjasama masyarakat dan akan dipertingkatkan lagi dari masa ke masa disamping bersedia untuk berkongsi maklumat dan agensi-agensi penguatkuasa di bawah National Joint Task Force

"PDRM amat mengalu-alukan kerjasama daripada masyarakat yang mempunyai maklumat tentang perkara ini dan sebarang maklumat boleh disalurkan ke Bahagian D3, (Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran) JSJ, Bukit Aman melalui talian hotline 03-26101510 ataupun kepada mana-mana Balai Polis yang berdekatan.

Berita Harian X