Isnin, 8 Jun 2020 | 11:25pm

269 PATI Rohingya mendarat, bocorkan bot elak diusir

KUALA LUMPUR: Bot membawa lebih 216 dan satu mayat wanita pendatang asing tanpa izin (PATI) Rohingya yang dikesan berada di perairan negara, awal pagi tadi, didapati sengaja dibocorkan.

Ketika dipintas dan diperiksa Kapal Maritim (KM) Kimanis milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di kawasan perairan Pulau Langkawi, jam 5 pagi tadi, bot itu didapati mengalami kerosakan teruk serta tidak dapat dibaiki.

PATI Rohingya yang ditahan selepas dikesan berada di perairan negara, awal pagi tadi.
PATI Rohingya yang ditahan selepas dikesan berada di perairan negara, awal pagi tadi.

Pada masa sama, 53 lagi PATI terjun ke laut dan berenang menuju ke pantai sebelum ditahan oleh penguat kuasa APMM.

Menurut National Task Force (NTF), Markas Angkatan Tentera Malaysia, pasukan keselamatan sudah menerima maklumat awal berhubung cubaan menceroboh perairan Langkawi oleh pelarian Rohingya kira-kira jam 10.30 malam tadi sebelum dikesan enam jam kemudian.

"Kerosakan dialami bot itu menyebabkan tindakan pengusiran tidak dapat dilakukan dan KM Kimanis telah memberi bantuan berupa makanan dan air bersih secukupnya kepada PATI berkenaan.

"Atas dasar kemanusiaan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) kemudian membenarkan bot itu ditunda ke Jeti Teluk Ewa, Langkawi, dan kesemua 269 PATI kini ditahan serta diletakkan sementara di Kem Bina Negara, Wawasan Langkawi.

"Satu mayat wanita yang ditemui di dalam bot itu pula diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, NTF yang melaksanakan Op Benteng secara bersepadu dengan membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), APMM, dan agensi penguat kuasa keselamatan lain, komited memastikan sempadan perairan dan daratan negara tidak dicerobohi oleh PATI atau anasir asing demi memelihara kedaulatan serta kesejahteraan negara.

"Setakat semalam, seramai 396 PATI, 108 tekong dan 11 penyeludup ditahan, manakala 140 PATI, enam tekong dan 22 bot sudah diusir ketika cuba mencerobohi sempadan negara.

"Masyarakat digesa terus memberi kerjasama menyalurkan sebarang maklumat berkenaan kegiatan anasir asing sama ada membabitkan PATI, penyeludupan, pencerobohan sempadan atau sebarang kegiatan jenayah rentas sempadan melalui talian hotline Pusat Operasi NTF di talian 011-62511223," katanya.

Terdahulu, BH melaporkan tindakan 53 pelarian Myanmar terdiri daripada 43 lelaki dan lapan wanita serta dua kanak-kanak terjun ke laut selepas bot mereka dipintas APMM, berhampiran pantai Teluk Nibung, awal pagi tadi.

PATI Rohingya yang ditahan selepas dikesan berada di perairan negara, awal pagi tadi.
PATI Rohingya yang ditahan selepas dikesan berada di perairan negara, awal pagi tadi.
Berita Harian X