Isnin, 8 Jun 2020 | 11:42am

Penjawat awam tunggang motosikal ala Superman ditahan

KUALA LUMPUR: Polis menahan tujuh lelaki termasuk seorang penjawat awam dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata kesemua suspek lelaki berusia 14 hingga 27 tahun terbabit ditahan selepas dikesan menunggang motosikal dengan mempamerkan aksi berbahaya seperti meniarap di atas motor (Superman), bersaing sesama sendiri, membuat aksi 'zig zag' dan kejar-mengejar.

"Siasatan awal mendapati tiga suspek terbabit tidak mempunyai lesen sah. Kakitangan (penjawat) awam berkenaan pula didapati melakukan aksi Superman.

"Selain itu, seorang remaja lelaki berusia 19 tahun yang pernah ditangkap sebelum ini di Dataran Merdeka kerana melakukan aksi mengangkat tayar depan ditahan sekali lagi kerana melakukan aksi Superman pagi tadi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mereka juga melakukan beberapa kesalahan lain, antaranya pengubahsuaian motosikal termasuk enjin untuk menambah kelajuan, menggunakan ekzos bunyi kuat, tayar lebih kecil, tiada cermin pandang kiri dan kanan serta tiada lampu depan dan belakang.

Katanya, kesemua suspek dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

Berita Harian X