Isnin, 8 Jun 2020 | 8:26am

Lelaki parah ditetak

LUMUT: Seorang lelaki cedera di muka dan tangan selepas ditetak lelaki dikenalinya akibat perselisihan faham antara mereka di sebuah rumah di Lumut, semalam.

Dalam kejadian pada 12 tengah hari itu, mangsa ditetak suspek dengan menggunakan pisau.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi, berkata suspek berjumpa mangsa untuk berbincang mengenai pembelian insurans.

Bagaimanapun, katanya dipercayai berlaku perselisihan faham antara mereka yang masing-masing berusia 20-an itu sebelum suspek menetak mangsa dan kemudian melarikan diri.

"Suspek melarikan diri dengan menggunakan kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire ke arah Sitiawan.

"Lelaki itu juga memandu secara melulu hingga melanggar enam kenderaan lain di simpang empat lampu isyarat.

"Dia kemudian melarikan diri ke kawasan berhampiran dan turut melarikan Proton Saga BLM milik seorang wanita," katanya.

Menurutnya, suspek yang turut cedera berjaya ditahan di Seri Manjung manakala Proton Saga pula ditemui di kawasan ladang sawit di Pekan Gurney, Sitiawan pada hari sama.

Katanya, pihaknya juga sudah merampas pisau yang dipercayai digunakan oleh suspek dalam kejadian itu.

"Mangsa kini dirawat di Hospital Seri Manjung dan suspek akan direman hari ini bagi membantu siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan," katanya.

Berita Harian X