Jumaat, 5 Jun 2020 | 10:46am
Anggota Bomba sedang membantu mengeluarkan kanak-kanak perempuan terperangkap dalam kereta di sebuah stesen minyak Sungai Limau, Lunas. - NSTP/Ihsan Jabatan Bomba
Anggota Bomba sedang membantu mengeluarkan kanak-kanak perempuan terperangkap dalam kereta di sebuah stesen minyak Sungai Limau, Lunas. - NSTP/Ihsan Jabatan Bomba

Ibu isi minyak, anak terkunci dalam kereta

KULIM: Tindakan pantas anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berumur setahun empat bulan yang terperangkap di dalam sebuah kereta di sebuah stesen minyak di Sungai Limau, Lunas, di sini, hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8.15 pagi.

Beliau berkata, tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim bersama dua jentera ke lokasi kejadian.

"Setibanya pasukan Bomba di lokasi, didapati terdapat seorang kanak-kanak perempuan terkunci di dalam kereta jenis Toyota Corola ketika ibunya sedang berhenti untuk mengisi minyak.

"Anggota bertindak mengeluarkan mangsa dari kereta menggunakan peralatan khas bagi membuka pintu kereta terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamadul Ehsan berkata, kanak-kanak berkenaan berjaya dikeluarkan dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan.

Katanya, mangsa diserahkan kepada keluarganya dan operasi tamat pada 8.37 pagi.

Berita Harian X