Rabu, 3 Jun 2020 | 3:14pm

3 ditahan memandu ketika mabuk

PETALING JAYA: Tiga individu ditahan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Alkohol dijalankan di sekitar daerah ini, awal pagi tadi.

Dalam operasi bermula 12 tengah malam dan berakhir jam 3 pagi tadi, seramai 78 individu diperiksa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal, berkata pemandu kenderaan berusia 28 hingga 42 tahun ditahan kerana gagal melepasi ujian kadar alkohol dilakukan.

"Polis turut mengeluarkan sembilan saman atas pelbagai kesalahan trafik dalam operasi dijalankan itu.

"Operasi ini dilakukan bertujuan mencegah dan membanteras pengguna jalan raya yang memandu atau menunggang di bawah pengaruh alkohol," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, sejak Op Alkohol dijalankan bermula 27 Mei lalu, seramai 23 individu sudah ditahan kerana melakukan kesalahan berkenaan.

"Berdasarkan statistik dalam tempoh satu minggu operasi dijalankan didapati berlaku penurunan berhubung kesalahan berkenaan.

"Kami percaya ia disebabkan liputan meluas media mengenai isu keselamatan pengguna jalan raya. Polis mengucapkan terima kasih kepada pihak media yang membantu memberi kesedaran kepada masyarakat," katanya.

Berita Harian X