X
Selasa, 2 Jun 2020 | 6:03pm
Zuriati menunjukkan gambar kedua-dua anaknya yang meninggal disengat tebuan tiga tahun lalu
Zuriati menunjukkan gambar kedua-dua anaknya yang meninggal disengat tebuan tiga tahun lalu

"Tebuan ragut nyawa dua anak saya"

DUNGUN: "Setiap kali terbaca kisah kematian akibat tebuan, air mata akan mengalir sedih mengenang nasib menimpa dua anak saya," kata surirumah, Zuriati Abdul Ghafar.

Zuriati, 38, berkata serangan tebuan pada 8 Ogos 2017 yang mengorbankan dua anaknya, Iffriah Darwisha Abdul Wahab Al Hadi, 3, dan Irdina Batrisyia Abdul Wahab Al Hadi, 8, sentiasa terpahat dalam ingatannya.

"Kejadian terbaru menimpa Nur Nazihah Mohd Sabri, 8, yang meninggal dunia akibat disengat tebuan di kawasan rumah mereka dekat Felda Kerteh 4, kelmarin, sangat menyentuh hati saya.

"Bila terbaca kisah itu, saya terkenangkan Iffriah dan Irdina, serta merta air mata gugur dan terasa hendak melawat pusara mereka, namun terhalang akibat Perintah Kawalan Pergerakan PKP yang melarang ziarah perkuburan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Batu Tiong, hari ini.

Mengimbas kembali kejadian itu, Zuriati berkata, kedua-dua anaknya itu diserang kumpulan tebuan yang bersarang di kawasan semak berhampiran yang masuk ke rumahnya, kira-kira jam 6.30 petang.

"Mereka berdua sedang bermain tidak jauh dari situ, sementara saya sedang berbual dengan bapa saudara, Sudin Ibrahim, 52, di ruang tamu sebelum terdengar mereka meraung kesakitan.

"Tebuan itu masih mengejar kedua-dua anak, saya mendukung Irdina masuk ke dalam rumah sebagai mengelak kumpulan tebuan itu terus menyengat Irdina, manakala Iffriah ketika itu berlari masuk ke dalam rumah pengasuhnya yang tinggal bersebelahan," katanya.

Katanya, dia segera mengejarkan kedua-dua anaknya yang disengat ratusan tebuan itu ke Hospital Dungun sebelum Irdina dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah NSNZ Kuala Terengganu.

"Ketika berada di bilik kecemasan, saya sangat takut apabila melihat badan mereka (anak) penuh dengan lubang kecil kesan sengatan itu sehinggakan badan mereka menjadi lebam,"katanya.

"Iffriah meninggal di bilik kecemasan hospital Dungun, kira-kira jam 10.30 malam manakala kakaknya meninggal dunia dua hari selepas itu ketika dalam rawatan di HSNZ," katanya.

Zuriati berkata, ketika di Hospital Kuala Terengganu, Irdina masih boleh bercakap dan beberapa kali bertanya akan arwah adiknya itu, namun dia merahsiakan perkara itu.

"Irdina sering berdoa agar dia dapat keluar hospital dengan cepat untuk melihat adiknya itu dan saya sedih dia (arwah) tidak tahu adiknya turut meninggal sehinggalah menghembuskan nafas.

"Paling saya sedih, di saat terakhir bertarung nyawa, Irdina ada berbisik kepada saya mengapa dia diuji Allah dengan kesakitan sebegitu. Saya terus menangis sambil memujuknya dengan berkata, Allah uji kerana sayang kamu," katanya.

Katanya, biarpun semuanya itu sudah berlalu, namun dia sentiasa terkenangkan kedua-dua anaknya itu dan berharap kedua-dua anak syurganya itu sentiasa berdoa kepadanya.

"Setiap kali selepas solat, saya berdoa kepada mereka dan mereka sentiasa dalam ingatan seolah-olah mereka selalu pulang ke rumah melawat saya.

"Saya mengucapkan takziah kepada ibu bapa Nur Nazihah sambil berharap mereka tabah menghadapi ujian itu kerana setiap apa yang terjadi itu ada hikmah di sebaliknya.

"Saya faham betapa sukarnya berhadapan dengan kehilangan orang tersayang. Saya diuji apabila kehilangan kedua-dua anak sekaligus," katanya.

Berita Harian X