Selasa, 2 Jun 2020 | 4:12pm
Ops Cegah AADK diadakan sekitar Kuala Muda, Sungai Petani. - Ihsan AADK
Ops Cegah AADK diadakan sekitar Kuala Muda, Sungai Petani. - Ihsan AADK

Penjawat awam antara 19 ditahan positif dadah

SUNGAI PETANI: Seorang penjawat awam antara 19 individu ditahan dalam Ops Cegah yang dilakukan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sini.

Ketua Pegawai AADK Kuala Muda, Arnida Ishak, berkata lelaki berusia 32 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Taman Lembah Bujang Utama Merbok pada jam 10.45 pagi semalam.

"Soal siasat mendapati lelaki berkenaan terbabit dengan penyalahgunaan dadah sejak 2015 dengan kekerapan mengambil dadah sehari sekali.

"Hasil ujian saringan air kencing yang dilakukan menunjukkan dia positif dadah jenis methamphetamine," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arnida berkata, dalam operasi bermula 8 pagi sehingga 11 malam itu, pihaknya turut menyerbu 16 lokasi panas sekitar daerah berkenaan.

Antara lokasi terbabit ialah Kampung Huma Tanjung Dawai, Kampung Batu Hampar, Kampung Batu 10 Jeniang, Kampung Keduak Bukit Selambau, Flat Paya Nahu, Taman Keladi dan Taman Ria.

Beliau berkata, semua yang ditahan ialah lelaki berusia lingkungan 23 hingga 48 tahun.

"Seramai 11 daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine dan morfin, manakala lapan lagi positif dadah methamphetamine.

"Mereka disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998," katanya.

Berita Harian X