Selasa, 2 Jun 2020 | 1:13pm

Ceroboh istana: Mahkamah Majistret penjarakan pemandu lori

KUALA KANGSAR: Pemandu lori, Mohammad Lokman Mohammad Termizi, 30, hari ini mengaku bersalah terhadap empat pertuduhan melakukan khianat dan menceroboh masuk ke Istana Iskandariah, di sini.

Mahkmah Majistret Kuala Kangsar menjatuhkan hukuman penjara dua tahun sembilan bulan bagi empat pertuduhan berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan pertama, beliau didakwa melakukan khianat terhadap dengan merempuh pintu pagar Istana Iskandariah, Kuala Kangsar yang menyebabkan kerugian kira-kira RM500 pada jam 7.40 pagi pada 25 Mei lalu.

Kesalahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan memperuntuk hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda, atau kedua-duanya.

Tuduhan kedua Mohammad Lokman didakwa melakukan pencerobohan jenayah dengan memasuki kawasan istana berkenaan yang digunakan sebagai tempat kediaman dan simpanan harta-benda antara jam 7.40 pagi sehingga 8.15 pagi, iaitu iaitu kesalahan mengikut Seksyen 447 kanun yang sama, memperuntuk hukuman penjara tidak melebihi enam bulan atau denda tidak lebih RM3,000, atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan ketiga, beliau dalam waktu dan lokasi sama didapati memiliki sepucuk pistol tiruan tanpa lesen atau permit senjata yang boleh dihukum mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntuk hukuman penjara tidak lebih setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya.

Sementara bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa dengan niat menakutkan seorang penjawat awam menjalankan tugas, iaitu dengan mengacukan objek menyerupai sepucuk pistol jam 8.15 pagi di tempat sama.

Pertuduhan mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan memperuntuk hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Hasyutantee Khalil di hadapan Majistret Nurul Asyifa Redzuan dengan tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Siti Hajar Hamzah.

Nurul Asyifa menetapkan tempoh pemenjaraan bermula pada hari pertama tertuduh ditangkap, iaitu pada hari sama tertuduh didapati melakukan keempat-empat kesalahan itu yang masing-masing merangkumi penjara 12 bulan bagi kesalahan merempuh pagar istana dan menakutkan penjawat awam menjalankan tugas.

Sementara bagi pertuduhan menceroboh kawasan istana, Nurul Asyifa menetapkan hukuman penjara tiga bulan kepada tertuduh, selain penjara enam bulan bagi pertuduhan memiliki pistol tiruan tanpa lesen.

Tertuduh kemudiannya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar atas satu lagi pertuduhan, iaitu membawa bersama sebilah pisau tanpa kebenaran sah sewaktu melakukan pencerobohan di kawasan Istana Iskandariah pada antara jam 7.40 pagi sehingga 8.15 pagi 25 Mei lalu.

Kesalahan boleh didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan, dan Senjata Berbahaya 1958 yang boleh dihukum penjara antara lima hingga 10 tahun serta sebatan jika sabit kesalahan.

Hakim Rohaida Ishak kemudiannya menetapkan tertuduh menjalani pemeriksaan di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan selama 30 hari bermula 2 Julai depan, selepas tertuduh bersuara dengan memberi kenyataan yang menunjukkan tanda-tanda tidak siuman.

Mohammad Lokman dibawa keluar Mahkamah Majistret Kuala Kangsar hari ini. - Foto NSTP/ MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Mohammad Lokman dibawa keluar Mahkamah Majistret Kuala Kangsar hari ini. - Foto NSTP/ MUHAMMAD ZULSYAMINI SUFIAN SURI
Berita Harian X