Ahad, 31 Mei 2020 | 8:25pm
Keadaan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Pekan Sungai Yan, di sini hari ini. Foto ihsan Bomba
Keadaan kenderaan yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Pekan Sungai Yan, di sini hari ini. Foto ihsan Bomba

Seorang maut, dua parah kereta bertembung van

YAN: Seorang maut manakala dua parah dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta dan van di Jalan Pekan Sungai Yan, di sini petang tadi.

Dalam kejadian 2.15 petang, pemandu Proton Iswara, Mohamad Sirajuddin Shukor, 25, meninggal dunia di tempat kejadian manakala penumpang kereta itu, Anas Muhammad Arash Johari, 22, dan pemandu van Ford Econovan, Khor Joo Huat, 65, cedera parah.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji, berkata kemalangan dipercayai berlaku selepas kereta terbabit gagal memotong kenderaan di hadapannya.

"Van berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari Singkir menghala ke Guar Chempedak," katanya dalam kenyataan.

Shahnaz berkata, akibat kemalangan, pemandu kereta meninggal di tempat kejadian manakala pemandu van patah kaki dan penumpang kereta cedera di muka.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) Sungai Petani untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X