Isnin, 25 Mei 2020 | 1:06pm

Jangan agungkan mat rempit

JOHOR BAHRU: Polis Johor meminta masyarakat tidak mengagungkan mat rempit dan mempertikai tindakan polis menahan golongan berkenaan yang bertindak melanggar undang-undang terutama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ia susulan video tular di media sosial sejak malam tadi yang memapar beberapa mat rempit ditahan dan menyorong motosikal mereka diiringi takbir raya dan kata-kata nasihat menerusi pembesar suara daripada MPV polis, dipertikai netizen kononnya mempersenda Islam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata tindakan segelintir masyarakat mempertikai tindakan polis membuat operasi besar-besaran dan menahan mat rempit atau samseng jalanan sejak malam raya itu tidak sepatutnya berlaku.

"Bagi saya masyarakat perlu faham. Sepatutnya masyarakat harus mengkritik aksi mat rempit pada malam raya.

"Malam raya sepatutnya mereka duduk rumah dengar takbir raya bukan merempit di jalanan.

"Kita harap masyarakat jangan menyokong tindakan mat rempit. Apatah lagi menyalahkan polis berikutan aksi mat rempit hanya membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

"Tindakan polis menahan mat rempit dan memasang takbir raya pula dipertikai netizen kononnya ia mempersenda Islam. Tidak timbul isu hina Islam dan andaian itu tidak tepat sebaliknya ia hanya sebagai pengajaran, " katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini, hari ini.

Ayob Khan mengulas video berdurasi 1 minit 26 saat yang memaparkan beberapa mat rempit yang ditahan dalam operasi di Bandar Penawar yang menyorong motosikal mereka dengan diiringi takbir raya pada malam raya, kelmarin.

Dalam operasi membanteras mat rempit yang diadakan sejak malam raya Sabtu lalu, polis berjaya menahan 47 mat rempit atau samseng jalanan di Kota Tinggi termasuk Bandar Penawar, 90 di Kluang termasuk 10 yang dilaporkan merempuh seorang anggota polis selain enam lagi di Iskandar Puteri.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay
Berita Harian X