Rabu, 20 Mei 2020 | 10:01pm
Kira-kira 30 kejadian pokok tumbang dilaporkan berlaku di sekitar Lembah Klang susulan hujan lebat dan ribut, petang tadi. - Ihsan APM
Kira-kira 30 kejadian pokok tumbang dilaporkan berlaku di sekitar Lembah Klang susulan hujan lebat dan ribut, petang tadi. - Ihsan APM
Pasukan APM menerima laporan kejadian sekitar jam 6 petang daripada penduduk di sekitar Sentul, Setapak, Wangsa Maju dan Gombak. - Ihsan APM
Pasukan APM menerima laporan kejadian sekitar jam 6 petang daripada penduduk di sekitar Sentul, Setapak, Wangsa Maju dan Gombak. - Ihsan APM
Kejadian pokok tumbang mengakibatkan lebih 20 jalan di kawasan terbabit terjejas. - Ihsan APM
Kejadian pokok tumbang mengakibatkan lebih 20 jalan di kawasan terbabit terjejas. - Ihsan APM

30 pokok tumbang akibat hujan lebat, ribut

KUALA LUMPUR: Kira-kira 30 kejadian pokok tumbang dilaporkan di sekitar ibu negara susulan kejadian ribut dan hujan lebat, petang tadi.

Pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menerima laporan kejadian sekitar jam 6 petang daripada penduduk di sekitar Sentul, Setapak, Wangsa Maju dan Gombak.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Lumpur, Leftenan (PA) Shahrul Kamar Mohd Johari berkata, kejadian pokok tumbang itu mengakibatkan lebih 20 jalan di kawasan terbabit terjejas.

"Anggota APM bergegas membuat tinjauan sebelum menjalankan kerja pembersihan kawasan bagi memudahkan pergerakan awam yang terganggu akibat pokok tumbang.

"Antara lokasi yang terjejas adalah di Stesen LRT Taman Melati, Lebuhraya Duka berhampiran Keramat, Danau Kota, Seksyen 1 Wangsa Maju, Jalan Gurney dan Sri Rampai," katanya.

Beliau berkata, kerja-kerja pembersihan di kawasan terjejas kini sedang giat dijalankan dengan bantuan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

"Operasi pembersihan sedang dijalankan dan dijangka selesai awal pagi ini.

"Setakat ini tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan akibat kejadian itu," katanya.

Sementara itu, pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut menerima sekurang-kurang 30 laporan kejadian pokok tumbang dan dahan patah susulan kejadian ribut dan hujan lebat di ibu negara, petang tadi.

Antara laluan yang terjejas akibat pokok tumbang adalah di Jalan Raja Laut bersebelahan LRT Sogo; Jalan Bukit Setiawangsa; Jalan Kasipillay; Kampung Kasipillay; Taman Setapak, Jalan Gurney 3; Taman Changkat Desa; Taman Seri Rampai; Perumahan Awam Desa Rejang; Jalan Langgak Tunku, Bukit Tunku dan Taman Batu Muda serta beberapa lokasi di Setapak.

Pengarah Kanan Bahagian Alam Sekitar, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL berkata, Abdul Rahman Ahmad, kerja pembersihan masih dijalankan pada masa ini dengan kerja pembersihan di beberapa lokasi sudah pun selesai.

Kerja pembersihan dilakukan oleh kakitangan Skuad kecemasan, Unit Kecemasan Kemudahan Awam dan Perkuburan (UKKAP), Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL.

Berita Harian X