Ahad, 17 Mei 2020 | 1:21pm

Campak bayi, ibu dan teman lelaki direman

BAYAN LEPAS: Pembantu kedai direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes bayi perempuan yang dicampak dari tingkat empat Flat Blok 8A, Persiaran Mayang Pasir 5, Bayan Baru, dekat sini, 13 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A A Anbalagan, berkata wanita berusia 18 tahun yang juga ibu kandung bayi malang itu direman semalam hingga 22 Mei ini.

Manakala teman lelakinya berusia 18 tahun yang ditahan pada 14 Mei lalu pula direman sehingga 20 Mei ini bagi membantu siasatan.

"Bayi berkenaan masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP) dan dalam keadaan stabil.

"Difahamkan oleh doktor bahawa bayi berkenaan tidak perlu menjalani pembedahan berikutan kecederaan pada otak tidak begitu serius," katanya ketika dihubungi hari ini.

Terdahulu, dalam kejadian 8 pagi, pada 13 Mei lalu, bayi berkenaan ditemui penghuni flat selepas terdengar bunyi dentuman kuat di luar rumah.

Ibu bayi itu mengaku melahirkan bayi pada 7 pagi di dalam tandas rumah tanpa pengetahuan ahli keluarga dan mendakwa membuang bayinya selepas panik serta mengelak diketahui ahli keluarga.

Selain kecederaan pada otak, bayi malang itu turut dilaporkan mengalami retak tempurung kepala dan kecederaan pada hati.

Teman lelaki suspek yang juga pembantu kedai ditahan selepas menyerah diri di Balai Polis Bayan Baru pada jam 8.40 malam sehari kemudian, manakala wanita berkenaan dibenarkan keluar hospital pada 15 Mei lalu.

Berita Harian X