Khamis, 14 Mei 2020 | 2:28pm
Lokasi kejadian kemalangan maut sepasang suami isteri di Jalan Bukit Merchat, Pulau Sebang, Alor Gajah. (Gambar kecil, Mohd Hairawi dan Nur Ain) . - NSTP/Ihsan PDRM
Lokasi kejadian kemalangan maut sepasang suami isteri di Jalan Bukit Merchat, Pulau Sebang, Alor Gajah. (Gambar kecil, Mohd Hairawi dan Nur Ain) . - NSTP/Ihsan PDRM

Wanita sarat mengandung, suami maut nahas

ALOR GAJAH: Seorang wanita yang hamil tujuh bulan bersama suami, maut dalam keadaan menyayat hati selepas motosikal ditunggang mereka dirempuh kereta di Jalan Bukit Merchat, Pulau Sebang, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 pagi tadi, Nur Ain Kamarulzaman, 25, yang membonceng motosikal ditunggang suami, Mohd Hairawi Mat Rezam, 36, terbunuh apabila motosikal mereka dilanggar kereta Perodua MyVi.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu, berkata ketika kejadian, lelaki berusia 34 tahun yang memandu kereta berkenaan dalam perjalanan dari arah Gadek ke Pulau Sebang, di sini manakala mangsa datang dari arah bertentangan.

"Siasatan mendapati pasangan suami isteri itu dalam perjalanan dari Taman Rakyat Kuala Ina, Tampin ke Hospital Melaka untuk menghadiri janji temu dengan pakar perubatan di hospital berkenaan.

"Pemandu terbabit dipercayai hilang kawalan hingga menyebabkan kenderaannya berpusing sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh motosikal mangsa," katanya di sini hari ini.

Keadaan motosikal ditunggang mereka dirempuh kereta di Jalan Bukit Merchat, Pulau Sebang. - NSTP/Ihsan PDRM
Keadaan motosikal ditunggang mereka dirempuh kereta di Jalan Bukit Merchat, Pulau Sebang. - NSTP/Ihsan PDRM

Akibat perlanggaran itu, kedua-dua mangsa tercampak beberapa meter dari motosikal dan Mohd Hairawi meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Jenazah mangsa yang bekerja sebagai tukang masak dibawa ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat manakala Nur Ain dibawa ke Hospital Tampin kerana parah di kepala dan badan.

"Bagaimanapun, Nur Ain dan kandungannya disahkan meninggal ketika dirawat di hospital itu kira-kira jam 12 tengah hari," katanya.

Kandungan yang masih belum dikenal pasti jantinanya itu adalah anak pertama pasangan terbabit.

Mohd Hairawi beralamat di Jalan Klinik Kesihatan Guchil Luar, Kuala Krai, Kelantan, manakala Nur Ain beralamat di taman berkenaan.

Siasatan mendapati cuaca ketika kejadian dalam keadaan baik dan punca kejadian dipercayai akibat kegagalan mengawal kenderaan, katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X