Ahad, 10 Mei 2020 | 11:57pm

Maut ditembak biras selepas bertengkar ketika mabuk

KOTA MARUDU: Seorang lelaki maut ditembak birasnya sendiri selepas berselisih faham ketika mabuk di sebuah rumah di Jalan Bintasan Darat, di sini, malam kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira jam 8.30 malam ketika kedua-dua mereka bersama tiga yang lain sedang berhibur di ruang tamu rumah mereka sambil menikmati minuman keras.

Difahamkan, mangsa berusia lingkungan 30-an dan suspek, 23, tiba-tiba berselisih faham.

Mangsa kemudian mengambil sebilah parang, manakala suspek menuju ke dapur rumah dan kembali dengan membawa senapang buatan sendiri jenis ginsuk.

Suspek kemudian melepaskan tembakan mengenai bahagian badan mangsa yang kemudian disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sabah, Datuk Jauteh Dikun, ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan pihaknya sudah menahan suspek termasuk merampas senapang buatan sendiri yang digunakan dalam kejadian berkenaan.

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kota Marudu untuk bedah siasat dan suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.

Berita Harian X