X
Sabtu, 9 Mei 2020 | 4:40pm
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew. - NSTP/Eizairi Shamsudin

Pemandu lori maki hamun polis

KANGAR: Polis menahan pemandu lori selepas memaki hamun anggota polis trafik yang tidak berpuas hati dikenakan saman kerana melanggar lampu isyarat di Jalan Kangar - Padang Besar di Kampung Salang semalam.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew, berkata dalam kejadian jam 12.24 tengah hari semalam, suspek berusia 37 tahun dipercayai memandu dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu mengeluarkan perkataan kesat terhadap anggota berpangkat sarjan sejurus diberikan notis saman.

"Pada awalnya suspek yang memandu sebuah lori tidak memberhentikan kenderaannya sewaktu lampu isyarat bertukar merah.

"Anggota berkenaan yang ketika itu bersama sepasukan polis dari unit penguatkuasaan trafik mengejar suspek dan memberikan notis saman kepadanya.

"Suspek yang tidak berpuas hati mengeluarkan perkataan 'polis sial' sebanyak dua kali sebelum beredar dengan lorinya dan berjaya ditahan semula di km 5 Jalan Kangar-Padang Besar," katanya ketika dihubungi hari ini.

Wari berkata, suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Beseri untuk tindakan selanjutnya sebelum direman pagi ini.

"Suspek direman sehari dan akan dituduh dalam masa terdekat dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana mengeluarkan kata-kata kesat," katanya.

Berita Harian X