Selasa, 5 Mei 2020 | 10:28am
Ain (kanan) dan Hawa menunjukkan gambar Zaharah yang dipercayai dipukul dan dipijak oleh seorang lelaki hingga maut sebelum mayatnya dibuang dalam parit. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi
Ain (kanan) dan Hawa menunjukkan gambar Zaharah yang dipercayai dipukul dan dipijak oleh seorang lelaki hingga maut sebelum mayatnya dibuang dalam parit. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi

'Kejam sangat sampai pijak, pukul emak saya'

MANJUNG: "Kalau marah dan tidak berpuas hati sekalipun kenapa sampai bertindak kejam begitu, kami tak pernah bermusuh dengan dia (suspek), kalau terserempak pasti kami tegur."

Itu luahan Hawa Isa, 45, anak mangsa bunuh, Zaharah Khalid, 76.

Zaharah dilaporkan hilang Ahad lalu, sebelum mayatnya ditemui dalam keadaan separuh tenggelam dalam parit pada 2 pagi, kelmarin.

Mangsa dilaporkan dipukul dan dipijak oleh suspek berusia 65 tahun hingga maut sebelum mayatnya dibuang dalam parit di Kampung Pasir Panjang, Sitiawan.

Hawa yang juga anak ketujuh mangsa yang ditemui semalam berkata, mereka sekeluarga mengenali suspek sejak kecil, malah menyifatkan hubungan suspek dengan ibunya seperti kakak dan adik.

Rumah suspek yang menjadi lokasi mangsa dipukul dan dipijak hingga maut. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi
Rumah suspek yang menjadi lokasi mangsa dipukul dan dipijak hingga maut. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi

Menurutnya, suspek sering makan dan minum di kedai kopi ibunya di Kampung Pasir Panjang, Sitiawan selain lelaki itu juga selalu memberi ikan hasil tangkapannya secara percuma kepada ibunya.

"Luluh hati saya apabila dimaklumkan emak diperlakukan sebegitu. Malah, pelakunya dikenali sejak kecil dan emak juga berkawan baik dengan arwah ibu suspek.

"Setahu saya kami adik-beradik tak pernah ada masalah dengan dia dan hubungan kami baik cuma sudah jarang berjumpa, tetapi kalau terserempak kami selalu tegur dia," katanya di rumahnya di Kampung Teluk Penchalang, di sini.

Bercerita lanjut, Hawa berkata, ibunya yang tinggal bersama adik lelaki bongsunya itu tidak dapat dikesan sejak tengah hari kelmarin sebelum mereka mencarinya di merata tempat namun tidak ditemui.

Katanya, ada individu memaklumkan kepada adiknya yang suspek dilihat menampar ibunya petang kelmarin sebelum adiknya segera ke rumah lelaki itu bertanyakan ibu mereka.

"Tetapi, masa itu dia (suspek) beritahu tidak jumpa emak dan disebabkan masih tidak berpuas hati adik kembali mencari di kawasan rumah lelaki itu sebelum menemui motosikal emak dalam parit di belakang rumah.

"Sedih hati ini apabila dimaklumkan emak ditemui dalam parit berhampiran namun kami reda dengan kejadian ini dan menganggap ia dugaan pada Ramadan ini.

"Secara peribadi saya boleh maafkan dia, cuma saya mahu dia dikenakan hukuman setimpal dengan tindakan yang dilakukannya kerana ia terlalu kejam," katanya sayu.

Menantu mangsa, Mohd Azman Nor Hussin menunjukkan lokasi motosikal mangsa ditemui. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi
Menantu mangsa, Mohd Azman Nor Hussin menunjukkan lokasi motosikal mangsa ditemui. - NSTP/Noor Hidayah Tanzizi

Hawa berkata, ibunya sempat mengunjungi rumah empat anaknya yang tinggal berhampiran termasuk dia dan bersembang bersama serta turut memberi wang hasil sawit kepada mereka, Sabtu lalu.

"Arwah mak sembang dengan saya lama, pelbagai cerita dia beritahu dan ketika itu saya renung muka mak lama sangat...rupanya itu kenangan terakhir mak untuk saya," katanya.

Sementara itu, cucu sulung mangsa yang dikenali sebagai Ain, 30, berkata, dia terkejut dan sukar mempercayai suspek sanggup melakukan tindakan kejam itu kepada neneknya yang dipanggilnya emak kerana hubungan mereka sebelum ini baik.

Katanya, dia dimaklumkan suspek pernah menyerang bapa saudaranya yang tinggal bersama mangsa tanpa sebab sebelum Ramadan.

"Tapi abang cik (bapa saudara) tidak melawan sebelum dia (suspek) ambil pisau mahu cuba serang abang cik, nasib baik sempat elak. Saya tidak tahu kenapa dia sanggup buat begitu pada kami, apa yang saya tahu emak tak pernah bergaduh dengan dia.

"Emak sudah tua, batuk pun sakit inikan pula dipukul macam itu...tak dapat saya bayangkan, sampai hati pak cik buat begitu pada emak," katanya yang turut berharap suspek dikenakan hukuman sewajarnya.

Katanya, ada penduduk kampung mendakwa kelakuan suspek berubah dan selalu pergi ke kubur ibunya siang dan malam sebelum kejadian berlaku.

Jenazah Zaharah selamat dikebumi di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pasir Panjang.

Berita Harian X