Selasa, 5 Mei 2020 | 9:59am
Dua lelaki maut akibat kecederaan parah di kepala selepas motosikal yang ditunggangi mereka bertembung dalam kemalangan di Jalan Pongsu Seribu, Kepala Batas, malam tadi. - Foto ihsan PDRM
Dua lelaki maut akibat kecederaan parah di kepala selepas motosikal yang ditunggangi mereka bertembung dalam kemalangan di Jalan Pongsu Seribu, Kepala Batas, malam tadi. - Foto ihsan PDRM

2 penunggang motosikal maut

KEPALA BATAS: Dua lelaki maut selepas motosikal yang ditunggangi mereka bertembung sebelum kedua-duanya terseret beberapa meter dalam kemalangan di Jalan Pongsu Seribu, di sini, malam tadi.

Mangsa, Al Zahari Ahmad, 32 yang bertugas sebagai penguatkuasa Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Azizi Affendy Mohammad Idris, 50, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, berkata siasatan awal mendapati kemalangan jam 11.45 malam itu dipercayai berlaku apabila motosikal yang ditunggang Al Zahari gagal mengelak motosikal Azizi Affendy yang tiba-tiba keluar dari simpang.

"Pada ketika itu, Al Zahari menunggang motosikalnya berseorangan dari arah Jalan Pongsu Seribu menghala lampu isyarat Permatang Sireh.

"Apabila sampai di tempat kejadian, secara tiba-tiba datang motosikal yang ditunggang Azizi Affendy yang didapati keluar dari simpang lalu bertembung dengan motosikal ditunggang Al Zahari," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, akibat pelanggaran itu kedua-dua mangsa tercampak dari motosikal yang ditunggangi mereka sebelum terseret beberapa meter di jalan berkenaan.

"Mangsa yang mengalami kecederaan parah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Mayat mereka berdua dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk proses bedah siasat," katanya.

Orang awam yang menyaksikan kemalangan atau mempunyai maklumat berkaitan insiden dua mangsa terbabit, diminta menghubungi Pegawai Penyiasat di talian 018-2881424 atau Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara di talian 04-5741427 atau tampil di balai polis berhampiran.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Berita Harian X