Isnin, 4 Mei 2020 | 10:00am
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

Tiga beradik ditahan ambil dadah

SUNGAI PETANI: Tiga beradik antara 15 individu ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam operasi yang diadakan di sekitar daerah ini, semalam.

Tiga beradik, dua wanita dan seorang lelaki yang berusia 22, 24 dan 26 tahun itu ditahan bersama seorang lagi lelaki berusia 30 tahun di rumah di Flat Paya Nahu 2, yang menjadi sarang penagihan dadah.

Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda, Arnida Ishak, berkata turut berada di rumah terbabit ketika serbuan dilakukan adalah tiga kanak-kanak berusia 2, 4 dan 9 tahun dan seorang bayi berusia sembilan bulan.

"Salah seorang daripada kanak-kanak terbabit adalah adik bongsu kepada tiga beradik berkenaan, manakala dua lagi kanak-kanak dan bayi adalah anak dua wanita yang ditahan yang juga berstatus ibu tunggal.

"Siasatan juga mendapati rumah yang digunakan adalah rumah kosong yang dipercayai menjadi sarang tiga beradik terbabit melepaskan gian dadah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Arnida berkata, dalam operasi yang bermula 9 pagi sehingga 11.30 malam tadi, pihaknya turut menyerbu 10 kawasan lain sekitar Sungai Petani.

Antara kawasan berkenaan adalah Kampung Telok Nipah, Taman Permatang Katong, Kampung Pengkalan Bukit Kechil Simpor, Kampung Baru Sungai Lalang, Taman Murah Sungai Lalang, Flat Paya Nahu 1 dan beberapa kawasan lain.

Katanya, kesemua yang ditahan berusia 22 hingga 44 tahun dibawa ke pejabat AADK Daerah Kuala Muda untuk tindakan lanjut.

"Ujian saringan awal air kencing mendapati lapan daripadanya positif dadah jenis methamphetamine dan morfin, manakala tujuh lagi positif methamphetamine.

"Mereka disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998," katanya.

Berita Harian X